Home Politik Undi tertinggi, Gobind patut jadi Setiausaha Agung DAP?

Undi tertinggi, Gobind patut jadi Setiausaha Agung DAP?

Pengerusi Kebangsaan DAP yang baharu, Lim Guan Eng (dua kiri) bersama Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke Siew Fook (tengah) dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP yang baharu, Gobind Singh Deo (dua kiri) bergambar selepas Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

PEMILIHAN pucuk pimpinan baharu DAP berjalan lancar semalam walaupun terdapat unsur dramatik dan emosi.

Dramatik apabila pemimpin veteran, DAP Lim Kit Siang mengumumkan bersara daripada politik selepas lebih 50 tahun memimpin parti itu.

Beliau menarik diri daripada bertanding Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP. Dia turut mengumumkan tidak akan menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya.

Mantan Penasihat DAP, Lim Kit Siang selepas mengumumkan persaraannya dalam politik pada Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

Emosi menyelubungi suasana persidangan semalam sebaik Kit Siang mengumumkan persaraan sehinggakan pemimpin kanan, PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kelihatan mengesatkan air mata.

Pengumuman Kit Siang bukanlah satu-satunya unsur emosi yang menyelubungi Kongres Kebangsaan DAP kali-17 yang dihadiri 4,149 perwakilan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) , Shah Alam.

Anaknya, Lim Guan Eng turut membuatkan hadirin sebak.

Air mata Guan Eng yang mengalir ketika menyampaikan ucapan kali terakhir sebagai Setiausaha Agung DAP selepas 17 tahun mengemudi parti tersebut turut menyebabkan suasana hiba menyelubungi konvensyen berkenaan.

Reaksi sedih Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa mengumumkan peletakan jawatan ketika berucap pada Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

Guan Eng perlu melepaskan jawatan kerana Perlembagaan DAP tidak membenarkan seseorang individu menjadi setiausaha agung lebih daripada tiga penggal.

Adakah pengaruh ‘dinasti Lim’ dalam DAP berakhir dengan persaraan Kit Siang dan undurnya Guan Eng daripada jawatan Setiausaha Agung DAP?

Govind Singh paling popular

Dalam pemilihan kepimpinan DAP yang bermula awal pagi dan keputusan diketahui pada pukul 8.00 malam itu, ternyata anak bekas pemimpin DAP mendiang Karpal Singh, Govind Singh Deo merupakan pemimpin paling popular.

Daripada 93 calon yang bertanding, Govind yang merupakan Ahli Parlimen Puchong mendapat undi tertinggi iaitu 1,782. Manakala Guan Eng pula menduduki tempat ke-8 dengan 1,311 undi.

Guan Eng bukan sahaja ‘ditewaskan’ oleh Govind tetapi juga oleh Chow Kon Yeow (1,641), Anthony Loke (1,625), Teresa Kok (1,373), Hannah Yeoh (1,346), Fong Kui Lun (1,341) dan Steven Sim (1,340).

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP yang baru, Gobind Singh Deo melambai tangan selepas Kongres ke-17 Parti Tindakan Demokratik di IDCC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

Bagaimanapun mendapat undi tertinggi bukanlah bermakna Govind secara automatik akan dipilih menjadi pemimpin nombor satu dalam parti.

Sistem pemilihan pemimpin dalam DAP adalah berbeza berbanding parti-parti lain. Malah jawatan tertinggi DAP bukanlah presiden atau pengerusi tetapi setiausaha agung.

Anthony yang mendapat undi ketiga tertinggi dipilih sebagai Setiausaha Agung manakala Guan Eng pula dipilih sebagai Pengerusi Kebangsaan sementara Gobind dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof. Dr. Sivamurugan Pandian, dari awal sudah dirancang bahawa Anthony adalah penganti Guan Eng.

“Dia bukan yang (mendapat undi) tertinggi akan dipilih. Itu bukan amalan DAP. Tetapi sudah menjadi satu konsesus dalam parti, mereka telah tentukan siapa akan menggantikan Guan Eng.

“Kerana pada asalnya pertembungan antara Anthony dan Nga Kor Ming. Tetapi kemudiannya saya rasa Kor Ming memberikan laluan dan beliau juga tidak mendapat kedudukan tiga tertinggi.

“Maka saya percaya pemilihan Anthony adalah berdasarkan kepada konsesus oleh 30 CEC yang dipilih. Mereka yang menentukan siapa yang akan menjadi pengerusi, timbalan pengerusi dan seterusnya,” kata Dr. Sivamurugan ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Prof Dr. Sivamurugan Pandian

Justeru walaupun Govind mendapat undi paling popular dalam kalangan perwakilan itu bukan bermakna dia akan mendapat jawatan tertinggi.

Pengaruh ‘dinasti Lim’ masih ada

Pengumuman persaraan Kit Siang dan pengunduran Guan Eng daripada jawatan setiausaha agung pula bukan bermakna pudarnya pengaruh ‘dinasti Lim’ dalam DAP. Dinasti Lim merujuk kepada keluarga Kit Siang.

Mantan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bergambar bersama bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu selepas Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

Pengaruh keluarga itu dalam DAP tidak pudar, lebih-lebih lagi selepas Kit Siang diumumkan sebagai ‘mentor parti’ dalam konvensyen tersebut.

Guan Eng pula walaupun tidak lagi menjadi Setiausaha Agung namun beliau masih ada jawatan dalam parti iaitu sebagai Pengerusi Kebangsaan.

Seorang lagi dinasti Lim iaitu Lim Hui Ying turut terpilih menganggotai CEC DAP dengan 1,155 undi.

Hui Ying merupakan anak perempuan Kit Siang dan adik kepada Guan Eng. Hui Ying juga seorang Senator di Dewan Negara mewakili DAP.

“Sudah pasti pengaruhnya itu tidak boleh kita ketepikan walaupun sudah membuat keputusan persaraan, sebagai mentor saya rasa DAP masih akur kepada nasihat yang diberikan oleh Kit Siang,” kata Dr. Sivamurugan.

Tambah beliau, kedudukan keluarga Lim sedikit sebanyak akan membayangi kepimpinan Anthony sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu.

Namun beliau percaya, Anthony akan berusaha untuk keluar daripada pengaruh dinasti Lim.

“Walaupun Guan Eng adalah pengerusi lazimnya di dalam parti DAP setiausahalah yang memainkan peranan yang cukup besar dan bukannya pengerusi.

“Jadi, saya merasakan Anthony sudah pasti mahu keluar daripada dipengaruhi sesiapa. Walaupun dia akan mendapatkan nasihat daripada pengerusi, mentor pun masih lagi Kit Siang. Masih ada pengaruh keluarga Lim.

“Tetapi barangkali beliau akan bergerak sendiri untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada DAP agar menjadi parti pelbagai etnik yang diterima ramai,” kata Dr. Sivamurugan.

Anthony pemimpin sederhana DAP

Seperti ramai yang lain, Dr. Sivamurugan turut berpendapat Anthony adalah pemimpin DAP berperwatakan sederhana.

Ahli Parlimen Seremban itu dikenali sebagai pemimpin yang boleh dibawa berbincang termasuk oleh pihak lawan.

Setiausaha Agung DAP yang baru, Anthony Loke Siew Fook selepas Kongres ke-17 Parti Tindakan Demokratik di IDCC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

Justeru beliau tidak hairan di bawah kepimpinan Anthony, DAP akan mengalami banyak perubahan pada masa depan.

“Saya rasa Anthony seorang pemimpin yang ada ketokohan dan kewibawaan dan sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak.

“Atas dasar itu ramai yang melihat beliau salah seorang tokoh yang boleh membawa perubahan dalam parti DAP. Tokoh muda graduan dari UKM, memang boleh bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk pihak lawan.

“Sebagai generasi ketiga sudah pasti beliau harus menyesuaikan pimpinan dengan perubahan eko-politik semasa.

“Saya percaya beliau mampu melakukannya memandangkan beliau serasi dengan kedudukan politik hari ini,” katanya.

Apapun Anthony mempunyai tempoh sehingga 2025 untuk membuktikan kepimpinannya.

Mampuhkah beliau mengikis pengaruh ‘dinasti Lim’ dan membawa DAP mengharungi gelora pilihan raya umum yang akan berlangsung pada bila-bila masa.

Semua mata kini terarah kepada beliau. – MalaysiaGazette.