Home Nasional 41 PBT terlibat inisiatif bandar rendah karbon – Tuan Ibrahim

41 PBT terlibat inisiatif bandar rendah karbon – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Sebanyak 41 pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat secara aktif dalam pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon di bawah program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 di negara ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menerusi program itu, sebanyak 70 PBT telah diberi pendedahan konsep dan pembangunan kapasiti setakat ini.

“Sebanyak 33 bandar sasaran telah dikenal pasti di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) mutlak yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.

Tambahnya, beliau berharap agar 33 bandar terpilih di bawah inisiatif Pelan Induk Bandar Rendah Karbon akan menyediakan inventori dan pelan tindakan pengurangan kadar pelepasan gas rumah kaca seawal 2030.

“Dengan pengurangan sebanyak 33 peratus berdasarkan penanda aras masing-masing, PBT lain dialu-alukan untuk menyertai program ini pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, bagi mengukuhkan pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon, KASA turut memperkenalkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) berjumlah RM35 juta.

“Sebanyak 18 PBT di Kelantan, Terengganu, Sarawak, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan telah melakukan projek bandar rendah karbon di bawah peruntukan GeRAK.

“GeRAK dijangka melibatkan 146 syarikat tempatan di seluruh negara dengan potensi pengurangan GHG kira-kira 110,969 Tan karbon dioksida setara,” katanya.

Katanya lagi, sebanyak 157,923.23 tan karbon dioksida setara bagi zon rendah karbon dan 12,975.85 tan karbon dioksida setara bagi rakan kongsi rendah karbon berjaya dikurangkan pada 2021. – MalaysiaGazette