Home Nasional Harga minyak sawit mentah kini cecah RM6,351. 50 satu tan

Harga minyak sawit mentah kini cecah RM6,351. 50 satu tan

Kelapa sawit
Harga minyak sawit mentah di pasaran sehingga pagi semalam naik kepada RM6,351.50 satu tan - harga tertinggi berbanding yang direkodkan sebelum ini RM5,930.50 satu tan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah di pasaran sehingga pagi semalam naik kepada RM6,351.50 satu tan – harga tertinggi berbanding yang direkodkan sebelum ini RM5,930.50 satu tan.

Timbalan Menteri II Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata, kenaikan harga itu disebabkan oleh gangguan yang berlaku terhadap minyak sayuran dunia seperti minyak kacang soya dan minyak sawit.

“Harga minyak sawit mentah telah meningkat sebanyak 64.1 peratus kepada RM4,407 satu tan pada 2021 berbanding dengan RM2,685.50 satu tan pada 2020.

“Harga purata bulanan minyak sawit mentah tertinggi dalam sejarah industri sawit telah direkodkan pada RM5,930.50 satu tan yang telah dicapai pada Februari 2022.

“Dan harga terkini sehingga pukul 8.30 pagi 21 Mac semalam adalah RM6,351.50 satu tan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen pagi ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang meminta menteri menyatakan apakah usaha kementerian dalam memantapkan lagi pemasaran kelapa sawit dan menstabilkan harga kelapa sawit di peringkat pasaran global.

Namun, menurut Mongin, penganalisa pasaran mengunjurkan harga minyak sawit mentah akan kembali stabil pada paras RM3,500 ke RM4,500 satu tan pada tahun ini.

Kata beliau, pengeluaran minyak sayur dunia pada tahun 2022 diunjurkan kembali mencapai dan mencatat pertumbuhan yang positif serta harganya akan kembali stabil di pasaran.

“Bagi memastikan harga minyak sawit mentah kekal stabil di masa hadapan kementerian telah mengambil langkah strategik seperti meningkatkan produktiviti pengeluaran sawit.

“Kementerian ini juga melihat kepada mekanisasi penambahan pekerja asing kepada sektor peladangan sawit, di mana secara tidak langsung dapat meningkatkan pengeluaran sawit dan seterusnya akan menstabilkan harga di pasaran.

“Langkah lain ialah penanaman semula sawit supaya dapat memastikan industri sawit kekal kompetitif di masa depan di samping memastikan paras stok minyak sawit terus rendah dan kekal stabil di masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette