Home Nasional Najib tunai janji bayar kompaun

Najib tunai janji bayar kompaun

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini membayar salah satu daripada lima kompaun yang kenakan ke atasnya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan kerajaan.

Menerusi resit yang dipapar dalam hantaran Facebook, bekas Perdana Menteri itu membayar kompaun sebanyak RM1,000 itu di Pusat Kesihatan Titiwangsa, di sini.

“Kompaun sudah dibayar,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Najib berjanji akan membayar kesemua lima kompaun yang dikenakan ke atas beliau sebelum ini atas kesalahan yang sama.

Isu pembayaran kompaun itu tercetus apabila beliau mempersoalkan mengapa Mentor DAP, Lim Kit Siang sahaja yang dikenakan kompaun kerana mengingkari SOP semasa Kongres ke-17 parti itu pada Ahad lalu sedangkan ramai lagi yang melakukan kesalahan tersebut.

Pada kongres tersebut, Kit Siang dilihat berpeluk dengan beberapa pemimpin antaranya Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke; Pengerusi DAP, Lim Kit Siang; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perwakilan partinya.

Semalam, Kit Siang dan Anwar disahkan positif Covid-19.

“Kit Siang seorang je yang kena kompaun? Itupun satu kompaun berjumlah RM1k yang dikeluarkan semalam.
“Tapi yang berpeluk itu adalah berpuluh orang?” soal Najib yang menjawab kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa Mentor DAP itu telah dikompaun.
Khairy menerusi akaun Twiter berkata, Kementerian Kesihatan berharap Najib membayar satu kompaun yang dikeluarkan kepadanya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini yang masih belum dilunaskan.
Malah tambah beliau, kementeriannya juga berharap bekas Perdana menteri itu menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang mana pegawai Najib didakwa enggan menerimanya sebelum ini. – MalaysiaGazette
+ posts