Home Seni Hidup Raikan Cinta Ramadan Wings, Awie jamin patuh SOP elak dikompaun lagi

Raikan Cinta Ramadan Wings, Awie jamin patuh SOP elak dikompaun lagi

Datuk Awie

MELAKA – Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie iidak mahu mengulangi kesilapan sama pada Showcase Raikan Cinta Ramadan Wings yang akan berlangsung di Hotel LaCrista, di sini, pada 16 April ini bagi mengelak beliau dikompaun sekali lagi.

Menurutnya bagi tujuan itu, pihaknya dan hotel bersetuju untuk memperketatkan lagi kawalan prosedur operasi standard (SOP) meskipun negara akan memasuki fasa endemik Covid-19, 1 April ini.

“Saya rasa tahun ni pasal SOP tu, hotel akan ketatkan lagi kawalan, kali ini mungkin kena bawa security (pengawal keselamatan) masuk untuk menjaga ketenteraman waktu persembahan itu yang dijangka berlangsung selama 90 minit.

“Sebabnya kita tak nak lagi timbul isu berbangkit, jadi kali kedua (langgar SOP Covid-19) pun tak bagus pada saya, Wings dan hotel,” katanya pada sidang pada sidang media showcase berkenaan di LaCrista Hotel Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan hotel, Datuk Rosthman Ibrahim; Pengurus Projek, Mubarak Akhtar (Hatta Mubarak) serta anggota Kumpulan Wings antaranya Sham, Eddie dan Black.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, pada showcase kali kedua ini, beliau akan menyampaikan 15 buah lagu berkonsepkan ketuhanan dan kerohanian yang sudah lama dibawa Wings sejak 1987.

“Mungkin ramai orang tidak perasan, lagu-lagu Wings sejak 1987 liriknya banyak berkisarkan perjuangan, ketuhanan dan kemasyarakatan.

“Kalau ada yang kata kumpulan nasyid sahaja boleh membawa lagu berkisarkan ketuhanan, kenapa tidak Wings seperti antaranya lagu berjudul Dari Tuhan, Belenggu Irama, Hukum Karma, Sejati, Sayap Ilusi, Opera Hidup dan Fotostat.

“Ini semua lagi keadaan semasa yang berlaku yang tiada soal cinta melampau antara wanita dan lelaki,” katanya.

Tambahnya, Showcase Raikan Cinta Ramadan Wings akan bermula selepas pengisian keagamaan seperti tazkirah, majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah yang diketuai pendakwah, Maulana Wan Helmi Al-Hafiz.

Sebelum ini, tular video klip berdurasi 42 saat dalam media sosial memaparkan Awie bersama beberapa individu sedang menyanyi pada majlis berbuka puasa 7 Mei tahun lalu sempena Misi Kemanusiaan Datuk Awie Bersama Sayap-Sayap Wings di sebuah hotel di Melaka.

Video yang dirakam melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika itu adalah bagi meraikan dan memberi sumbangan kepada komuniti penarik beca yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette