KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati ramalan apabila meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2019/2020, malam ini.
Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai ‘The Pocketrocketman’ mengenepikan cabaran Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Timmy Tan (tenpin boling) serta Wong Weng Son (wushu).
Kejayaan anak kelahiran Terengganu buat kali keempat itu sekali gus meletakkan beliau dalam kelompok senarai pemenang terbanyak ASN bersama dua legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.
Rashid pernah meraih gelaran itu secara ‘hatrik’ pada 1990, 1991 dan 1992 sebelum gelaran tersebut ‘dirampas’ M Ramachandran dan Nur Herman Majid (olahraga) 1993 dan 1994 dan atlet billiard dan snooker, Sam Chong diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan 1995.
Pencapaian meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996 sekali gus mengangkat semula nama Rashid untuk dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada tahun berkenaan, sekali gus menjadikan beliau atlet terbanyak meraih gelaran berkenaan.
Chong Wei juga mempunyai rekod setanding Rashid dengan meraih gelaran berkenaan pada 2005, tahun dia memenangi gangsa pada penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia 2005.
Pemenang pingat perak tiga kali di Sukan Olimpik yang bersara pada 2019 itu kembali diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2008, 2011 dan 2012 dan secara tidak langsung menyamai pencapaian Rashid.
Sementara itu, Azizulhasni yang berusia 34 tahun meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016 telah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan sebanyak tiga kali pada 2009, 2010 dan 2017.
Bagi kategori Olahragawati Kebangsaan, ia menjadi milik Tan Cheong Min yang menjuarai Kejohanan Wushu Dunia di Shanghai pada 2019.
Atlet kelahiran Melaka itu menewaskan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang kali terakhir memenangi anugerah itu pada 2015 selain Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).
Untuk rekod, atlet paling banyak meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan ialah legenda skuasy negara, Datuk Nicol David dengan 10 gelaran.
Nicol meraih gelaran berkenaan pada 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2013 dan 2014.
Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan masing-masing membawa pulang sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.
Majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020 disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tokoh serta jaguh sukan tanah air. – MalaysiaGazette