Home Nasional Dasar beku akaun bekas suami ingkar nafkah perlu diteliti – Wanita MCA

Dasar beku akaun bekas suami ingkar nafkah perlu diteliti – Wanita MCA

Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR – Wanita MCA menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri sebagai satu usaha yang membina dan harus dipuji.

Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie berkata, dasar ini penting kerana ia akan dapat mengatasi masalah bekas suami yang mengabaikan tanggungjawab dan sengaja ingkar bayar nafkah demi untuk menyulitkan kehidupan bekas isteri dan anak mereka.

Bagaimanapun, Wanita MCA mahu kerajaan meneliti isu berbangkit dan menyelaraskan mekanisme terbaik bagi memastikan nafkah untuk bekas isteri dan anak-anak mereka terus dibayar sekiranya bekas suami diisytiharkan bankrap atau muflis, walhal bekas suami masih memiliki aset atas nama pasangan baharu, adik-beradik, ibu bapa atau menggunakan wakil.

Selain itu, pengumuman tersebut juga perlu mengambil kira jika bekas suami tidak mempunyai pendapatan tetap atau pekerjaan tetap, atau bekerja dengan gaji harian secara tunai.

Ini kerana, jika tiada potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dibuat, bekas suami boleh menghilangkan diri dan tak dapat dikesan.

Begitu juga dengan lelaki yang berkahwin dan bercerai lebih daripada sekali kerana timbul persoalan adakah semua bekas isteri terbabit berhak mendapatkan nafkah dan wang saraan untuk anak-anak mereka.

Dan, bagaimana pula suami yang tidak menceraikan isteri tetapi meninggalkan isteri dan anak-anak untuk memulakan kehidupan bersama keluarga baharu, sedangkan secara hukumnya, lelaki tersebut masih sah sebagai suami, tambah beliau lagi.

Seai Kie berkata, sebagai pertubuhan yang sentiasa komited membela dan memperjuangkan hak wanita, khususnya mereka yang teraniaya dan kurang upaya , termasuklah ibu tunggal yang dizalimi bekas suami, wanita MCA juga turut memperkasakan kesamarataan gender.

“…bukan semua keruntuhan rumah tangga adalah berpunca daripada si suami, malahan ada juga yang disebabkan si isteri yang meninggalkan suami dan anak-anak mereka, untuk pasangan baharu,” ujarnya.

Lantaran itu, dasar pembekuan akaun bank perlu diteliti agar adil kepada semua pihak berasaskan fakta dan puncanya.

”Sudah tentulah tidak adil jika hakim memerintahkan suami yang ditinggalkan oleh isteri curang yang minta cerai kerana jodoh lain tetapi sengaja tidak berkahwin lagi kerana ingin mendapat nafkah daripada bekas suaminya yang tidak berdosa,” tambah Seai Kie. – MalaysiaGazette