Home Seni Hidup Hadi anak yatim piatu genggam PhD

Hadi anak yatim piatu genggam PhD

Abdul Hadi Samsi bersama Dr. Hadi bersama Ustaz Suhaimi Dzajuli.

KUALA LUMPUR – Siapa sangka anak yatim piatu yang menghuni di asrama anak yatim selama 13 tahun berjaya menggenggam Doktor Falsafah (Ph.D).

Itu rezeki Dr. Abdul Hadi Samsi, 33, yang menghuni di asrama anak yatim sejak usia tujuh tahun hingga 19 tahun.

Beliau telah dikurniakan ijazah PhD dalam bidang sains politik dan kerajaan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45 di sini.

”Saya hadiahkan kejayaan ini buat keluarga dan semua guru-guru yang menjaga saya di Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Damai, Kuang, Selangor selama 13 tahun dan mendidik saya seperti anak mereka sehingga ke peringkat universiti,” kata Hadi sebak.

Kehilangan ayah ketika berusia 5 tahun kerana kanser tulang, menyebabkan dia dan tiga beradiknya terpaksa ke asrama anak yatim dan berpisah dengan ibu yang kesusahan kerana bekerja kampung.

Dugaan mereka bertambah getir apabila ibu mereka meninggal dunia kerana sakit kanser perut ketika Hadi di tingkatan 4, menjadikan mereka empat beradik sebagai anak yatim piatu.

Meskipun sudah menggenggam kejayaan, Abdul Hadi sama sekali tidak melupakan jasa baik Ustaz Suhaimi Dzajuli yang merupakan pengasuhnya paling lama di asrama anak yatim kerana tidak jemu membantunya sehingga berjaya dalam pelajaran.

”Buat adik-adik yang menghuni di mana juga rumah anak yatim, janganlah merasa kekurangan kerana tiada insan tersayang di sisi sebagai sebab untuk tidak boleh cemerlang dalam pelajaran.

”Masih ada rakan-rakan senasib di asrama dan guru-guru yang menyayangi kita seperti saudara kandung sendiri. Mari kita balas kepercayaan ini,” kata Hadi.

Buat masa ini Hadi bekerja sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM dan merancang untuk menjadi pensyarah di UPM tidak lama lagi. – MalaysiaGazette