KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada Isi Rumah (IR) Miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian Ketua Isi Rumah (KIR).
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi pelan berkenaan setiap IR akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun.
Ujar beliau, ia bakal melibatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang telah berdaftar dalam eKasih.
Jelas Ismail Sabri, pelan perlindungan ini lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia.
Selain itu beliau berkata, kerajaan menerusi mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) hari ini turut bersetuju beberapa perkara termasuk memperkasakan agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.
“Meningkatkan tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam eKasih.
“Selain itu Malaysia Productivity Corporation (MPC) diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah-langkah yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan membantu untuk memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai miskin tegar sifar menjelang tahun 2025 yang dihasratkan oleh Kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, MySPC hari ini turut melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan).
Pangkalan itu melibatkan 167 program daripada 17 kementerian/agensi dan mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga tahun 2020 dan program-program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian/ agensi yang terlibat.
PDPS tambah Perdana Menteri akan menjadi single gateway serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial yang meliputi elemen Pekerjaan, Insurans Sosial dan Bantuan Sosial.
“Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka setelah Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas tahun 2023,” katanya lagi.- MalaysiaGazette