Home Seni Hidup Saya mahu saman hospital bukan kerana wang – Siti Jamumall

Saya mahu saman hospital bukan kerana wang – Siti Jamumall

Siti bersama anaknya, Aiman dan Dianah bersama anaknya, Aisha.-Foto Sitijamumall

KUALA LUMPUR – Siti Jamumall mahu mengambil tindakan terhadap pihak hospital di Shah Alam dalam kesnya tertukar bayi tahun lepas bukan kerana wang.

Menurut Siti Jamumall atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin tindakan itu dibuat bagi menjadi pengajaran supaya pihak terbabit tidak boleh lepas tangan dalam isu berkaitan.

“Malah semua pihak kena berhati-hati kerana kecuaian ini (tertukar bayi) satu perkara serius.

“Bukan hendak menyalahkan dan cari salah sesiapa punca proses mahkamah dibuat tapi kita kena tahu dan tak boleh main-main atau petik suka hati sahaja dalam hal ini,” katanya dalam sidang video semalam.

Menurut SitiJamumall, pihaknya membawa perkara itu ke mahkamah dengan mesej kejadian hospital tertukar bayi tidak lagi berulang.

Turut hadir dalam sidang video yang sama ialah ibu kepada bayi yang tertukar dengan bayi Siti Jamumall yang dikenali sebagai Dianah dan wakil peguamnya, Stanley.

Anak lelaki Siti bernama Aiman dan anak lelaki Dianah pula namanya Aisha dan kedua-duanya berusia sembilan bulan.

Sementara itu, Stanley berkata, anak guamnya telah memenangi permohonan bagi kes berkenaan dan Mahkamah Shah Alam telah mengarahkan pihak hospital membayar anak guamnya sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun pihak hospital terbabit juga memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi dan pihaknya menunggu keputusan sebelum membuat tindakan selanjutnya sama ada meneruskan saman atau tidak.

“Sebelum ini kita failkan permohonan pendedahan dapatkan identiti care taker, doktor, jururawat yang menjaga Siti, Aina dan kedua-dua bayi mereka.

“Permohonan itu tamat selepas sembilan bulan prosiding dan mahkamah mengarahkan hospital terbabit membayar RM1,000. Ia favourable dan kemenangan kepada kami,” katanya sambil menegaskan kos itu bersesuaian dengan permohonan awal anak guamnya.

Jika mahu kos lebih besar, katanya, tindakan saman perlu dilakukan namun bergantung kepada keputusan mahkamah terhadap tindakan hospital memfailkan semula permohonan awal pihaknya terlebih dahulu.

Namun pihaknya perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk mengenalpasti identiti terlibat secara terperinci.

Pada sidang video yang sama, Siti Jamumall turut mengimbas semula kejadian berlaku sembilan bulan lalu di mana dia tertukar bayi dengan Dianah.

Walaupun hanya dua hari bertukar anak namun menganggap ia menjadi trauma kepada mereka lebih-lebih lagi ia berlaku di hospital swasta.

Beliau juga mengakui mengambil ujian DNA bagi memastikan kesahihan Aiman sebagai anaknya namun tetap menganggap Aisha sebagai anak sendiri kerana telah memberi susu badan kepadanya selama dua hari semasa kejadian pada tahun lepas.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengalaman tertukar bayi tak boleh dilupakan – Siti Jamumall