Home Utama Betapa risikonya kerajaan pada waktu ini – Zahid

Betapa risikonya kerajaan pada waktu ini – Zahid

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara kerajaan dan pembangkang pada 13 September 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan ahli Parlimen Pembangkang menolak usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA di Dewan Rakyat semalam sepatutnya memberi pengajaran yang jelas kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga berharap masyarakat dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya Kerajaan yang ada pada waktu ini.

Serentak itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mahu BN untuk segera keluar daripada belenggu kerjasama dalam kerajaan yang disifatkan sebagai lemah.

“Jika ditanya pendirian saya dan parti, saya kira semuanya sudah sangat jelas. Malah, ketetapan dan pendirian kita semasa Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari adalah sesuatu yang rasional dan berasas.

“Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada. Malah ia adalah pengajaran yang besar kepada parti politik seperti UMNO dan BN.

“Semua ini hanya menguatkan semangat dan kepercayaan saya betapa UMNO harus bangkit kembali sebagai kuasa politik yang kuat, besar dan terhormat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ahmad Zahid Hamidi

Seramai 86 ahli Parlimen pembangkang mengundi tidak bersetuju dalam meluluskan usul kerajaan untuk meminda Subseksyen 4(5) SOSMA, sekali gus menyebabkan usul tersebut gagal dilaksanakan dengan hanya 84 ahli Parlimen yang bersetuju.

Ahmad Zahid berkata, ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah memungkiri janji yang dibuat dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dan PH sebelum ini.

Menurutnya, sikap yang diambil oleh ahli Parlimen PH menunjukkan mereka sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

“Malah, PH sebenarnya sangat cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka dengan mudah. Pada pandangan saya, tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.

“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam menunjukkan bahawa kerajaan yang ada tidak lagi dihormati.

Malah ia merupakan tanda bahawa Kerajaan berada dalam kedudukan yang tidak stabil dan tidak akan berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar.

“Kita mesti berupaya membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang suka menangguk di air keruh.

“Yang pasti apa yang berlaku ini (iaitu kegagalan usul SOSMA 2012) adalah sesuatu yang memalukan Kerajaan.

“Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera,” tegas Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette