Home Dunia Indonesia longgarkan sekatan menjelang Ramadan

Indonesia longgarkan sekatan menjelang Ramadan

Joko Widodo. foto Jakarta Post

JAKARTA – Memandangkan bulan Ramadan semakin hampir dan bilangan kes harian COovid-19 yang disahkan di Indonesia terus menurun, Indonesia mengumumkan menarik balik sekatan ke atas solat terawih dan kepulangan rakyatnya ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya.

Masjid dibenarkan mengadakan solat terawih berjemaah pada bulan Ramadan dan individu lengkap divaksin dengan dos penggalak boleh pulang ke kampung halaman mereka untuk Hari Raya, kata Presiden Joko Widodo dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Joko Widodo melarang pegawai dan penjawat awam daripada mengadakan majlis berbuka puasa dan rumah terbuka Hari Raya.

Meskipun sekatan dilonggarkan semasa bulan suci itu, presiden mengingatkan orang ramai supaya mematuhi protokol kesihatan.

Pelonggaran sekatan untuk penduduk tempatan dibuat selepas Indonesia pada Selasa mengumumkan pelancong antarabangsa akan dibenarkan memasuki negara itu tanpa perlu dikuarantin, namun masih perlu menunjukkan ujian negatif Covid-19 semasa ketibaan.

Negara itu mencatatkan 6,376 kes baharu COVID-19 pada Rabu, turun daripada 7,464 kes Selasa, menjadikan jumlah kes yang disahkan kepada 5,974,646. – MalaysiaGazette