KUALA LUMPUR – Kapten PJ City FC, K. Gurusamy memberi bayangan akan pulih sepenuhnya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua bulan selepas berdepan kecederaan lutut.
Gurusamy mengalami kecederaan lutut ketika aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 9 Mac lalu dan dijangka akan terlepas beberapa aksi perlawanan akan datang.
Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun ini tidak mahu tertekan dengan kecederaan tersebut dan percaya peluangnya untuk kembali bersama pasukan akan lebih cepat sekiranya proses pemulihan berjalan lancar.
Ketiadaan Gurusamy dijangka memberi masalah di bahagian tengah dan pengendali, justeru P. Maniam perlu mencari pengganti terbaik bagi mengisi kekosongan terutamanya menjelang perlawanan menentang Terengganu FC pada 6 April depan,
“Betul, lutut saya ada cedera tempoh hari dan sekarang kena berehat sekurang-kurangnya sebulan setengah dan selepas itu barulah boleh berlatih balik.
“Jadi, mungkin hujung bulan depan baru akan pulih dan saya akan fokus betul-betul sepanjang fasa pemulihan ini.
“Saya cedera ketika lawan Sabah dan waktu itu, ada terlanggar dengan Saddil (Saddil Ramdani), dia pun tidak sengaja dan saya tengok padang pun agak licin.
“Jadi, perkara itu dah biasa sebab sebelum ini pun pernah jadi juga dan saya ambil positif apa yang berlaku untuk kembali lebih kuat selepas ini”, jelasnya.
Dalam masa sama, pemain yang pernah beraksi bersama PKNS FC ini menjangkakan PJ City pada musim ini mampu memberi kejutan terutamanya di pentas Liga Super dalam menghadirkan persaingan sengit.
Gurusamy juga percaya PJ City semakin mempamerkan prestasi yang membanggakan disebalik barisan pemain tempatan yang digunakan dan mereka mampu mencapai sasaran yang diletakkan musim ini.
“Memang kita tahu sasaran pasukan yang perlu dicapai dan sebab itu semua pemain berusaha untuk melakukan terbaik dan ini landasan terbaik untuk pemain-pemain tempatan seperti kami.
“Saya rasa kalau kita boleh raih kedudukan lima terbaik, saya percaya tahun depan akan lebih banyak perkara baik akan datang untuk pemain-pemain tempatan di sini dan lebih ramai yang akan percayakan kudrat kami,” tambahnya.
PJ City terlebih dahulu telah memenangi perlawanan pertama Liga Super menentang Melaka United FC dengan keputusan 1-0 sebelum tewas 1-3 kepada Sabah FC. – MalaysiaGazette