Home Seni Hidup Syahadah kembali dengan tema hijrah sepanjang Ramadan

Syahadah kembali dengan tema hijrah sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR – Dokumentari berbentuk sejarah Keislaman iaitu Syahadah yang bakal bersiaran sepanjang Ramadan ini menjanjikan pendekatan lebih segar dan dekat di hati  dengan tema Hijrah: Pendekatan Kandungan Islamik Dan Perspektif Komuniti Etnik Di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Mula bersiaran mulai 3 April ini di tiga saluran RTM, Syahadah akan membawa semua peminat setianya menjelajah pelbagai kisah yang ada di negara ini yang sarat dengan sejarahnya yang tersendiri.

Program diterbitkan Unit Majalah dan Dokumentari (UMD) TV RTM ini menyaksikan penglibatan seramai 12 orang penerbit kesemuanya yang dibahagikan mengikut zon yang dipilih iaitu zon selatan, pantai timur dan utara, Sabah, Sabah dan Sarawak juga Sarawak.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, pemilihan tema hijrah pada Ramada ini bagi memaparkan tafsiran hijrah dari pemahaman yang lebih luas.

Jelas beliau, pendekatan musim ini akan mengangkat kisah-kisah menarik asimilasi budaya yang lebih khusus dalam negara menerusi 30 episod.

“Penerbitan kali ini telah dibahagikan kepada enam zon dengan latar belakang pesona visual yang lebih sinematik dan kandungan program tersendiri.

“Pendekatan ini lebih tepat untuk memastikan khalayak penonton disajikan dengan kandungan ilmiah yang mampu membentuk budaya ilmu di mana Syahadah merupakan program tonggak UMD yang masih releven dan mampu menarik penontonan.

“Justeru, Syahadah bakal berkongsi suka duka kehidupan ikon dakwah setempat dan paparan mengenai keunikan seni bina masjid di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lagu tema program Syahadah di RTM dinyanyikan kumpulan nasyid terkenal Rabbani.

Sementara itu, perkongsian 30 tajuk yang menemui penonton sepanjang Ramadan ini akan bermula dengan zon selatan yang mengetengahkan tajuk Kunci Syahadah, Mencari Hidayah, Lantera Hidup, Tarbiyah Husnul Khatimah, Perjalanan Hidayah, dan Jihad Ekonomi.

Seterusnya, tajuk Permata Syahadah, Ibrah Anbiya, Warisan Muslim di Georgetown, Hikmah Di Tanjung Bungah, Jihad Mualaf dan Sinar Islam mengandungi kandungan perspektif unik dari zon pantai timur dan utara.

Selain, tajuk menarik juga dibawakan daripada zon Sabah dan Sarawak iaitu Transformasi al-Quran Emas, Warisan Terngganu, E-Braille al-Quran, Nostalgia Pos Dipang, Raudhatul Sakinah, Denai Zikrullah, Tasbih Rindu, Infaq Kasih, Legasi Rosli Bardi, Kekal Satu Kalimah, Legasi Malakalu, Kalam Sufi, Wasilah Perajurit Negara, Kasih Bario, Hijrah Muhibah, Sujud Ini Miliknya, Sampiku Dilemai Ari Kidurong, Vik Ulauk dan Seruan Dakwah Pesisir.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Bagi memeriahkan program itu, hadiah kuiz mingguan dan utama oleh pihak SASA SALT yang diwakili oleh Syarikat Red Sea Industries Sdn Bhd, Aet Travel Sdn. Bhd., Rabbani Productions dan D-Saji. – MalaysiaGazette