Home Politik Tolak pinda usul SOSMA, adakah MOU masih terpakai? – Asyraf Wajdi

Tolak pinda usul SOSMA, adakah MOU masih terpakai? – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki Act 342 harsher punishment
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Penolakan usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat semalam, maka secara rasminya pembangkang telah melanggar Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, dalam MOU yang ditandatangani pada 13 September 2021, Perkara 3.3(b) menggariskan bahawa Pakatan Harapan (PH) bersetuju akan “mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul yg di kemuka oleh kerajaan”.

Ini bermakna PH telah berjanji tidak akan menolak sebarang usul kerajaan dalam Parlimen sekiranya dibentangkan.

Menurut beliau, dengan penolakan PH terhadap usul yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri semalam, maka secara rasminya pihak PH telah mengingkari MOU tersebut, sekali gus membawa kepada persoalan besar sama ada MOU antara kerajaan dengan pembangkang masih terpakai atau sebaliknya.

Asyraf berkata, yang pasti kerajaan tidak boleh selamanya ditadbir dengan mengharapkan ihsan pembangkang.

”Mana mungkin kestabilan politik mampu dicapai jika negara berterusan sebegini! Mana mungkin keyakinan pelabur mampu diraih jika kerajaan dilihat tidak stabil dan boleh diugut pada bila-bila masa!,” ujarnya. – MalaysiaGazette