KUANTAN – Polis menggesa orang ramai menghentikan spekulasi susulan tular video memaparkan seorang penunggang motosikal dipukul sekumpulan lelaki semasa Op Motosikal di Jalan Gambang-Kuantan pada 20 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, klip berdurasi 33 saat itu bukan melibatkat pasukan polis tetapi orang awam yang ingin membantu pihak polis menahan pesalah trafik yang telah melanggar anggota polis semasa operasi.
“Melalui komen komen yang dihantar, rata-rata netizen amat tidak berpuashati dengan tindakan tersebut dan menyalahkan pihak polis mengenai kejadian ini
“Semasa pihak polis daripada unit HMPV BSPTD IPD Kuantan menjalankan operasi motosikal di Jalan Batu 3 Jalan Kuantan Gambang yang merupakan lokasi tumpuan golongan “mat rempit melakukan aksi menunggang secara bahaya dan menduga kelajuan sesama mereka.
“Semasa serbuan dilakukan salah seorang penunggang motosikal telah bertindak agresif untuk melarikan diri sehingga melanggar salah seorang anggota trafik yang sedang bertugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang awam yang tidak dikenali di lokasi operasi telah bertindak memukul penunggang tersebut yang cuba melarikan diri selepas pelanggaran.
Insiden tersebut bagi membantu pihak polis menahan penunggang yang bertindak kasar.
Sementara itu, katanya anggota polis yang dilanggar tidak mengalami kecederaan dan tindakan saman dikeluarkan terhadapa pesalah atas kesalahan tiada cermin sisi, ubahsuai struktur kenderaan dan tiada nombor pendaftaran.
Sejumlah 34 buah motosikal telah ditahan dan sebanyak 74 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan semasa operasi dijalankan.
Wan Mohd Zahari juga memberi amaran tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penyebar berita palsu di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan turut boleh dibuat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette