KUANTAN – Yayasan Petronas memperuntukkan RM405,000 menerusi program ‘Back To School’ (BTS) 2022 yang telah memberi manfaat kepada 1,500 pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penerima terdiri daripada pelajar 38 sekolah rendah dan menengah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).
“Mereka menerima set baharu peralatan sekolah dan kit kebersihan diri di bawah program ‘Back To School’ (BTS) 2022 oleh Yayasan Petronas.
“Sumbangan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 71 peratus berbanding tahun lalu yang mana sebanyak 800 murid dan pelajar menerimanya di Pahang.
“Kerajaan negeri amat berbesar hati dengan peranan dimainkan Yayasan Petronas yang saban tahun menunjukkan komitmen tinggi untuk membantu golongan murid dan pelajar kurang berkemampuan khususnya di negeri ini.
Syed Ibrar berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan 2022.
ADUN Kerdau itu ketika dihubungi MalaysiaGazette menzahirkan kesyukuran di atas komitmen Yayasan Petronas kepada pelajar Pahang juga di Kelantan dan Terengganu menerusi program berkenaan.
Sentuhan Ilmu (Pendidikan) – Program BTS adalah program tahunan yang dimulakan sejak 2003 bermatlamat untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan.
Difahamkan seramai 8,700 murid dan pelajar disenaraikan sebagai penerima bagi program BTS 2022 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Kesemua pelajar terpilih dibekalkan sepasang pakaian seragam sekolah, pakaian sukan, kasut sekolah dan stokin, sebuah beg galas, bekas makanan dan botol minuman serta keperluan pembelajaran seperti set alat tulis, set geometri dan buku aktiviti.
Selain itu mereka juga menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan yang boleh diulang pakai serta dua helai tuala muka. – MalaysiaGazette