Home Pendapat Bangunan usang jadi ‘sarang hantu’

Bangunan usang jadi ‘sarang hantu’

Keadaan bumbung luar Istana Budaya kelihatan semakin rosak dan sekeliling cat semakin kusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM , 18 MAC 2022.

BANGUNAN, premis atau rumah merupakan antara keperluan paling asas untuk setiap manusia.

Ia berfungsi sebagai habitat utama manusia untuk mendapatkan perlindungan dan keselamatan.

Selain itu, bangunan juga bertujuan untuk memenuhi beberapa keperluan masyarakat terutamanya sebagai perlindungan daripada cuaca, keselamatan, ruang kediaman, privasi, dan sebagainya.

Mendiami sesebuah bangunan yang selesa bagi tujuan kediaman dan pekerjaan merupakan impian setiap individu.

Ramai yang mengharapkan agar bangunan tersebut selamat dan bebas dari sebarang bentuk gangguan.

Sebab bangunan jadi berhantu

Kita sering kali mendengar rungutan dan keluhan penghuni berkenaan gangguan yang agak sukar untuk dijelaskan.

Persoalannya, adakah bangunan yang diduduki itu “berhantu”?

Bagi merungkai masalah ini, terdapat beberapa contoh fenomena yang sering terjadi dan disertakan penjelasan lojik secara teknikal.

Pertama, penghuni bangunan berbilang tingkat seperti apartment sering kali terdengar seperti ada individu yang sedang bermain guli atau menukul lantai.

Fenomena ini dapat dijelaskan secara teknikal sebagai kejutan hidraulik.

Fenomena ini biasanya berlaku akibat injap yang tertutup secara tiba-tiba kesan perubahan momentum dalam sistem saluran paip.

Sekiranya tekanan yang diterima terlalu kuat, bunyi dan getaran yang dihasilkan juga akan kuat.

Umumnya perkara ini berlaku di malam hari kerana kebanyakkan sistem saluran paip sedang berfungsi untuk memenuhi tangki simpanan air.

Salah satu kaedah mengatasi masalah ini adalah dengan memasang injap hembusan dipenghujung sistem saluran paip.

Kedua, fenomena lampu yang berkelip-kelip. Fenomena ini sering dipertontonkan dalam filem seram bagi menunjukkan kehadiran unsur-unsur paranormal yang sedang bermain-main lampu.

Walaubagaimanapun, hakikat sebenarnya adalah fenomena ini mungkin disebabkan oleh mentol lampu yang telah rosak terbakar atau masalah pendawaian yang hanya perlu diselenggara dengan baik.

Ketiga, fenomena bau wangi mahupun yang kurang menyenangkan. Dalam sesetengah keadaan, penghuni bangunan beranggapan bau berkenaan datangnya daripada kehadiran makhluk yang tidak diundang.

Masalah ini mungkin berpunca daripada sistem pengudaraan semulajadi atau sistem pengudaraan mekanikal gagal berfungsi dengan baik.

Seterusnya, masalah ini dapat dirungkai dengan memastikan sistem pengudaraan semulajadi atau mekanikal berfungsi dengan baik.

Sudah pasti, kekerapan menyelenggarakan sistem alat penapisan udara mampu mengatasi masalah bau dalam bangunan.

Keempat, fenomena pintu tertutup kuat dengan sendirinya. Ada ketikanya tiba-tiba pintu tertutup dengan sendirinya dan disertai bunyi yang memecah kesunyian ruang.

Sudah tentu akan melahirkan perasaan dan suasana yang menyeramkan.

Fenomena ini sebenarnya berpunca daripada aliran udara melalui ruang celahan pintu yang menyebabkan berlakunya pemampatan udara dari dalam atau luar sesebuah ruangan.

Masalah ruangan yang tidak kedap udara ini juga boleh menjejaskan kitaran penyejukan sekiranya anda menggunakan sistem penyamanan udara. Sudah pasti, bil elektrik juga akan terjejas.

Kelima, fenomena bunyi pelik dibalik dinding dan lantai bangunan. Di saat kedinginan dan kesunyian malam, kerap kali terdengar bunyi benturan, menggaru, dan hentakan tapak kaki.

Ketahuilah, fenomena ini kemungkinan besar berpunca daripada aktiviti binatang liar seperti tikus, tupai atau burung yang menumpang bangunan yang diduduki.

Selain itu, kesan pengembangan dan pengecutan bahan binaan lantai dan dinding bangunan yang menghasilkan bunyi-bunyi seperti hentakan tapak kaki.

Kesemua contoh fenomena yang dinyatakan ini juga sangat dipengaruhi oleh suasana kesunyian malam dan keadaan fizikal penghuni yang agak keletihan akibat menjalankan aktiviti seharian.

Minda yang seharusnya memerlukan kerehatan yang cukup mungkin akan terganggu akibat fenomena pelik yang terjadi.

Budayakan selenggara bangunan dengan baik

Bangunan mestilah diselenggara dengan baik dan sempurna.

Penyelenggaraan bangunan adalah tanggungjawab pemilik yang secara langsung akan memberi kesan kepada kualiti serta hayat bangunan.

Penyelenggaraan ditakrifkan sebagai aktiviti yang dilakukan secara tetap dan terancang untuk memastikan kesihatan dan fungsi bangunan berada pada tahap yang baik.

Kerja-kerja penyelenggaraan termasuklah pembersihan, servis, pembetulan atau pembaikan komponen utama dalam bangunan.

Jika penyelenggaraan tidak dijalankan dengan baik, proses penuaan bangunan akan berlaku dengan cepat, dan akhirnya kualiti komponen utama bangunan akan merosot.

Secara umumnya, pemilik bangunan boleh menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan dengan mudah setelah memahami keadaan semasa bangunan mereka.

Selain itu, pemilik bangunan juga boleh mendapatkan khidmat pakar seperti juruukur bangunan bertauliah dan berpengalaman untuk menilai masalah seperti yang dinyatakan di atas.

Khidmat pakar juruukur bangunan berdaftar dengan Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Persatuan Juruukur Bangunan Berdaftar Malaysia (MyRBS) mungkin jawapan kepada fenomena yang dialami semasa berada di dalam bangunan.

Kesimpulannya, penting untuk setiap penghuni bangunan memahami keadaan semasa bangunan yang mereka duduki. Budayakan aktiviti selenggara bangunan dengan baik.

Jangan biarkan hidup anda diselubungi dengan fenomena yang pelik.

Dr. Irwan Mohammad Ali

 

Sr Dr. Irwan Mohammad Ali merupakan Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak.