KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) bagi merangsang pembangunan produk kewangan patuh Syariah yang inovatif yang akan terus memperdalam pasaran kewangan Islam Malaysia.
Penubuhan MYOR-i sebagai kadar penanda aras Islam akan menjadi pemangkin dalam memacu inovasi produk kewangan Islam dan mewujudkan ketelusan bagi peserta pasaran untuk berunding dan menyeragamkan kontrak kewangan mereka, seterusnya mencapai penetapan harga yang cekap merentas semua instrumen kewangan.
Hal ini akan membantu memperdalam pasaran kewangan Islam dalam negeri dan meningkatkan peranannya untuk membiayai kegiatan ekonomi benar di Malaysia, kata BNM.
MYOR-i juga akan mengukuhkan ekosistem patuh Syariah yang holistik serta meningkatkan amalan dan piawaian pasaran yang terbaik.
BNM berkata, MYOR-i merupakan kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia.
Kadar ini dibangunkan menurut Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan.
Majlis Penasihat Shariah (MPS) BNM jugansudah mengesahkan status patuh Syariah MYOR-i.
MYOR-i akan menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (KLIRR), yang akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.
Dalam usaha membangunkan MYOR-i, BNM telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam ( IMTDC) AIBIM-FMAM.
Dokumen dasar MYOR-i telah diterbitkan melalui laman sesawang BNM dengan ciri utama dan piawaian tadbir urus yang berikut:
MYOR-i ditadbir dan dikira oleh BNM.
Tambah BNM, MYOR-i merupakan kadar pulangan purata berwajaran jumlah bagi urus niaga ringgit semalaman patuh Syariah antara bank tanpa cagaran, termasuk operasi monetari semalaman Islam BNM.
MYOR-i pada masa ini adalah berasaskan instrumen Murabahah Komoditi tetapi instrumen patuh Syariah yang baharu boleh dimasukkan pada masa hadapan.
MYOR-i untuk mana-mana hari bekerja di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada pukul 12 tengah hari pada hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM.
BNM akan melakukan penilaian berkala terhadap MYOR-i bagi memastikan MYOR-i terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas. – MalaysiaGazette