Home Nasional Dua lelaki halang ambulans bawa pesakit dialisis diberkas polis

Dua lelaki halang ambulans bawa pesakit dialisis diberkas polis

KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang mengejar dan menahan sebuah ambulans yang sedang dalam perjalanan membawa pesakit ke Hospital Sri Kota untuk mendapatkan rawatan dialisis di sini akhirnya berjaya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 petang semalam.

Katanya, pemandu ambulans berkenaan telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Klang sekitar jam 2.33 petang pada hari sama selepas kejadian.

“Sewaktu ambulans melalui kawasan Jalan Tepi Sungai Klang, didapati sebuah van jenis Toyota Hiace warna putih memandu secara rapat dari arah belakang ambulans berkenaan.

“Pengadu telah menegur pemandu van tersebut dengan menggunakan pembesar suara agar menjarakkan kenderaan.

“Namun tidak lama kemudian, seorang lelaki tempatan menaiki sebuah motorsikal Modenas Kriss warna biru telah memberhentikan motosikal di hadapan ambulans berkenaan dan menghalang pergerakan mereka,” katanya dalam kenyataan tadi.

Tambah beliau, selepas menghalang pergerakan ambulans berkenaan, suspek yang menaiki motosikal telah menghampiri pintu bahagian pemandu sebelum mengarahkannya turun dari kenderaan manakala van tersebut berhenti di tepi ambulans tersebut.

Menurut beliau, pemandu segera mengundurkan ambulans untuk mengelak kedua-dua kenderaan suspek terbabit dan terus memecut menuju ke hospital bagi mengelak sebarang insiden buruk dan tidak diingini berlaku.

“Bagaimanapun bertindak atas maklumat dan laporan polis mangsa, kedua-dua suspek berusia 53 dan 30 tahun itu berjaya dikesan dan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sekitar jam 4 petang tadi.

“Hasil semakan polis mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam dan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan halangan salah.

“Kita juga akan mendapatkan reman terhadap kedua- dua suspek itu di Mahkamah Klang pada pagi esok,” tegas beliau.-MalaysiaGazette