KUALA LUMPUR – Harga kereta pemasangan tempatan (CKD) dijangka meningkat lapan hingga 20 peratus pada 2023 berdasarkan perkiraan nilai pasaran terbuka (OMV) duti eksais yang baharu.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, bagaimanapun pihak industri meminta kerajaan mengembalikan perkiraan lama bagi membendung kenaikan harga kereta CKD.
“Duti eksais tersebut ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung 2022, dan akan dijalankan semula bermula tahun hadapan.
Beliau berkata OMV merupakan nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya.
Perkiraan baru duti eksais Malaysia disediakan oleh MOF semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan telah diwartakan pada 31 Dis, 2019.
Syarikat automotif tidak akan meningkatkan margin, namun peningkatan harga kereta adalah disebabkan kenaikan cukai, katanya.
“Pembeli yang akan terkesan dan ini sekali gus menyebabkan penjualan kereta akan berkurangan,” katanya.
Beliau berkata selain itu, MAA juga sedang menyiapkan draf rayuan kepada MOF bagi memohon lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memandangkan berlakunya kekurangan mikrocip.
Dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan lanjutan tempoh pengecualian SST ke atas kenderaan sehingga 30 Jun, 2022.
Pengecualian SST bagi kenderaan diumumkan kali pertama pada Jun 2020 untuk tempoh sehingga Disember 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan kemudian ia dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun, 2022. – MalaysiaGazette