SERDANG – Langkah kerajaan mengimport bekalan ayam bulat sejuk beku bagi menstabilkan harga sumber protein itu yang melambung tinggi sejak akhir tahun lepas hanya penyelesaian untuk jangka masa pendek sahaja.
Pakar Ternakan Ayam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus berkata, sekiranya langkah itu diteruskan untuk jangka masa panjang, ia dikhuatiri akan menjejaskan industri penternakan dan pengeluaran ayam tempatan.
“Sekarang oleh kerana bekalan ayam di negara agak berkurangan, kerajaan membenarkan mengimport ayam bulat.
“Ini mungkin langkah jangka pendek untuk menstabil harga dan menjamin bekalan ayam, mungkin satu langkah baik.
“Jika kita berterusan import ayam, lama kelamaan ia akan jejaskan industri ayam negara, perkara ini kita tak mahu.
“Kebanyakan syarikat yang terlibat dengan industri ayam tempatan adalah syarikat yang disenaraikan dan kita tidak mahu industri kita terjejas,” katanya pada sidang media di Bangunan Canselori Putra UPM, di sini, hari ini.
Zulkifli mendedahkan, terdapat segelintir penternak ayam tempatan yang enggan menternak ayam lagi kerana harga makanan ayam terlalu tinggi dan sukar untuk meraih keuntungan.
“Lebih-lebih lagi penternak bukan kontrak, lebih baik mereka buat perkara lain daripada menternak ayam.
“Ada satu-satu masanya bekalan ayam tidak mencukupi, hingga memaksa kerajaan mengimport ayam bulat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette