KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menjelaskan Operasi Subsidi Minyak Masak atau dikenali sebagai Op Saji Bilangan 1/2022 dilaksanakan berdasarkan analisa awal terhadap senarai syarikat penerima subsidi minyak masak yang mendapati terdapat elemen pelarian cukai pendapatan dalam kalangan syarikat tersebut.
Fokus yang diambil dalam Op Saji Bil. 1/2022 ini ialah menyiasat kegagalan syarikat-syarikat dan kilang-kilang repacker atau pembungkusan minyak masak bersubsidi melaporkan amaun pendapatan yang layak dikenakan cukai, amaun jualan yang sepatutnya dan mendaftar fail cukai dengan LHDNM.
Dalam Op Saji ini, sebanyak 63 syarikat dan kilang-kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi telah disiasat.
Daripada 63 syarikat tersebut semakan awal LHDNM mendapati, sebanyak 44 syarikat kurang melaporkan pendapatan dan baki 19 syarikat lagi tidak mempunyai fail cukai pendapatan.
Selain itu, semakan turut dilakukan terhadap 127 orang pengarah syarikat yang berkaitan dengan Op Saji ini.
Berdasarkan semakan awal yang dilaksanakan sepanjang tiga hari Op Saji ini berlangsung dari 21 Mac 2022 sehingga 23 Mac 2022, LHDNM menganggarkan sebanyak RM1 bilion pendapatan yang diperolehi oleh syarikat-syarikat penerima subsidi ini tidak dilaporkan melibatkan Tahun Taksiran 2018 sehingga 2020.
Daripada amaun RM1 bilion pendapatan yang tidak dilaporkan ini, LHDNM menjangkakan sebanyak RM200 juta cukai mampu dikutip semula melalui pelaksanaan Op Saji.
Berkenaan dengan isu penyelewengan minyak masak bersubsidi yang diterima oleh syarikat-syarikat yang disiasat dalam Op Saji ini, LHDNM ingin menjelaskan kekeliruan yang timbul dalam pelaporan beberapa akhbar tempatan.
LHDNM berkata, dalam Op tersebut, pihaknya tidak membuat siasatan berkenaan kemungkinan kewujudan penyelewengan minyak masak bersubsidi atas kesedaran bahawa itu adalah di luar skopnya dan ianya adalah bidang tugas kementerian yang berkaitan.
“LHDNM percaya tindakan penguatkuasaan telah dan malah sentiasa dilakukan oleh kementerian yang berkaitan dan telah dimaklumkan bahawa syarikat-syarikat yang dibuktikan bersalah telah dikenakan tindakan oleh kementerian berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam hal ini, LHDNM akan memberikan kerjasama yang perlu kepada kementerian berkenaan dalam usaha kolektif dengan semua kementerian dan agensi kerajaan membendung sebarang bentuk penyelewengan dan ketirisan hasil negara.
Sesungguhnya pelaksanaan Op Saji ini merupakan salah satu daripada agenda kerjasama bersepadu antara semua agensi kerajaan bertujuan menzahirkan peranan serta fungsi setiap agensi kerajaan dalam bersatu memerangi sebarang salah laku yang boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara dan menjejaskan kesejahteraan Keluarga Malaysia, ujar LHDNM. – MalaysiaGazette