JOHOR BAHRU – Barisan Exco Johor yang dilantik hari ini menampilkan 100 peratus muka baharu dan muda.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata,kesemua barisan Exco yang dilantik merupakan gabungan antara pemimpin berpengalaman dengan pemimpin muda yang berilmu dan berketerampilan.
Jelasnya, sebanyak 70 peratus daripada barisan EXCO adalah daripada kalangan golongan muda.
“Barisan Exco ini juga dibarisi pemimpin pelbagai kaum dan mengambil kira keseimbangan gender – yang mencerminkan wajah sebenar Bangsa Johor.
“Saya percaya dan yakin barisan Exco ini berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti sepanjang tempoh lima tahun yang akan datang.
“Saya sedar dan insaf, cabaran yang menanti di hadapan adalah amat besar dan mencabar, terutama ketika kita masih lagi bertarung dengan pandemik Covid-19. Namun, saya bersama barisan ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor, dibantu oleh pegawai dan kakitangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pelantikan barisan Exco Johor di kediaman rasmi Menteri Besar, Saujana, di sini, hari ini.
Onn yakin barisan Exco yang dilantik berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti sepanjang tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, beliau sedar terhadap cabaran yang menanti adalah besar dan mencabar, terutama ketika negara masih bertarung dengan pandemik Covid-19.
Namun, katanya, barisan Exco itu dibantu pegawai dan kakitangan kerajaan akan berusaha sehabis mungkin untuk memacu Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
“Pada masa yang sama, saya bersama barisan ini akan bekerja keras untuk memenuhi segala janji yang telah dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.
“Lima Ikhtiar BN Johor iaitu Kemajuan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Orang Muda Johor, Pentadbiran Berintegriti dan Reformasi Politik pasti akan dilaksanakan kelak serta menjadi keutamaan Johor,” katanya.
Onn berkata, kerajaan baharu ini akan menekankan konsep ‘Bangsa Johor’ yang akan memastikan semua rakyat Johor tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang terlibat sama dalam membangunkan negeri itu.
Katanya, aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan rakyat akan menjadi keutamaan dan fokus kerajaan negeri tersebut.
“Justeru, saya bersama barisan Exco yang baharu ini amat memerlukan sokongan dan doa setiap daripada anda, Bangsa Johor, dalam menggalas amanah dan tanggungjawab ini.
“Jika kita bersama, saya yakin dan percaya tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah yang terlalu curam untuk dituruni, InsyaAllah.Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah, kekuatan dan pedoman dalam menempuhi apa jua cabaran yang mendatang. – MalaysiaGazette