Home Politik Berjasa gesa RUU Akta Pendanaan Politik dibentang selewat-lewatnya Julai ini

Berjasa gesa RUU Akta Pendanaan Politik dibentang selewat-lewatnya Julai ini

Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa menggesa kerajaan segerakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendanaan Politik pada persidangan Parlimen akan datang, yang dijadualkan Julai ini.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad berkata, ia juga boleh diserentakkan dengan pembentangan RUU Akta Anti Lompat Parti yang tertangguh pada persidangan minggu lalu.

Katanya, kedua-dua akta itu sebolehnya diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

“Dua RUU ini penting bagi memulihkan kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi negara. Ketiadaan undang-undang ini adalah antara punca mengapa rasuah dan politik wang berleluasa.

“Bagi Akta Pendanaan Politik, ahli dan parti memerlukan dana yang banyak untuk membiayai perjalanan kempen mereka.

“Ada yang bergantung harap kepada dana daripada taikun perniagaan dan syarikat korporat yang sudah pasti mereka mengharapkan imbuhan sebagai timbal balik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hazwan, senario itu yang memungkinkan budaya rasuah berleluasa, malah ahli politik yang menang PRU kelak berasa terhutang budi dengan pendana politik mereka.

Lantas katanya, segala dasar dan polisi yang bakal digubal sudah tentu tidak boleh memberi kesan terhadap sumber pendapatan taikun perniagaan berkenaan.

“Contoh, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan kawalan harga hartanah atau menyekat kenaikan harga barang dalam industri dimonopoli taikun perniagaan tertentu sudah pasti tidak akan berjaya kerana rasa terhutang budi.

“Hal yang sama berlaku apabila melibatkan keputusan untuk memberikan lesen perniagaan, kelulusan tanah dan sebagainya sudah pasti mewujudkan konflik kepentingan.

“Kitaran ini akan berterusan dari satu PRU ke PRU yang lain dan implikasinya cukup besar terhadap sistem demokrasi negara,” katanya.

Beliau berkata, selain membudayakan politik wang, senario itu juga menatijahkan ketidakadilan kepada parti kecil dan individu yang bebas tidak diikat dengan mana-mana taikun perniagaan untuk menawarkan diri dalam pentas demokrasi, sekali gus menjadikan sistem demokrasi di Malaysia kekal cacat.

Justeru, beliau berharap, Ahli-ahli Parlimen tidak lagi melambatkan usaha ke arah merealisasikan Akta Pendanaan Politik kerana 116 negara di dunia telahpun mempunyai akta berkenaan.

Malah, katanya, ada negara yang menyediakan geran khas untuk parti politik dan juga kaedah penguatkusaaan bagi memastikan ketelusan semua pihak. – MalaysiaGazette