ISTANBUL – Syarikat pertahanan Turki, STM akan mempamerkan teknologi pertahanan terkini pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Pada pameran yang dijadual diadakan pada 28 hingga 31 Mac ini, firma tersebut akan mempamerkan frigat Turki pertama, kapal perang daripada projek MILGEM, kapal pengawal pantai CG-3100 dan sistem taktikal pesawat tanpa pemandu (UAV), menurut kenyataan media STM.
Pengurus Besarnya, Murat Guleryuz berkata, firma itu teruja untuk mempamerkan projek tentera laut dan sistem UAV mini dengan keupayaan kejuruteraan nasional di Malaysia.
“Dengan penyelesaian inovatif dan sumber manusia kami, kami mahu menjalinkan kerjasama di Asia dan meningkatkan keupayaan pertahanan negara rakan,” katanya seperti dipetik agensi berita, Anadolu.
STM terlibat dalam kolaborasi, pemindahan teknologi dan aktiviti pembangunan perniagaan di lebih 20 buah negara, dari Amerika Selatan sehingga Timur Jauh, menurut laman sesawang firma tersebut.
“STM menghasilkan penyelesaian kejuruteraan yang asli dan fleksibel untuk platform permukaan dan kapal selam untuk tentera laut Turki dan negara rakan bagi mengutarakan keperluan spesifik selain memastikan prestasi yang lebih berkesan,” katanya.
Sistem UAV STM dibangunkan dengan kejuruteraan dan teknologinya sendiri yang digunakan secara efektif oleh pihak keselamatan Turki di sempadan, termasuk operasi lintas sempadan. – Agensi