KUALA LUMPUR – Bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi milik Perikatan Nasional (PN), pucuk pimpinan harus mengubah suai logo atau lambang agar ia lebih menyerlah.
Veteran Pas, Ramli Dalip berkata, biarpun logo atau lambang dianggap sebagai syiar sahaja, tetapi ia penting untuk memastikan rakyat tahu mengenai PN.
“Masuk pilihan raya mestilah nak menang. Macam mana nak capai kejayaan tu, kita dan pucuk pimpinan PN perlu sama-sama fikirkan.
“Kalau boleh, memanglah kita nak guna lambang sendiri (logo Pas), tapi semua itu terpulang kepada pihak atasan untuk guna bendera yang mana,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk Pas, Dulu Lain, Sekarang Lain.
Program yang disiarkan di semua platform digital Malaysia Gazette turut menampilkan Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali sebagai panel dan hos dikendalikan Haslina AR Kamaludin.
Ramli berkata, bendera berwarna biru yang menjadi lambang PN ketika ini tidak begitu menyerlah dan mungkin kerana itu ada pihak yang masih keliru dengan kehadiran parti gabungan itu semasa pilihan raya.
“Bendera warna biru yang kita guna perlu diubah sedikit untuk nampak lebih gah, sekarang ni tak nampak sangat.
“Pernah semasa Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanya mengapa bendera PN tidak dipasang, sedangkan ia sudah ada, cuma ditenggelamkan dengan warna biru dacing,” katanya.
Jelasnya lagi, ia begitu penting untuk memastikan parti gabungan antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) itu terus diterima masyarakat khususnya menjelang PRU15 akan datang.
“Mungkin letakkan warna hijau dan merah juga, terpulang kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.
“Sekarang ni nak masuk bulan Ramadan, kita berehat sekejap, tapi selepas itu kita tampil dengan idea untuk membuat perubahan,” katanya.
PN menggunakan logo berwarna biru tua dengan tulisan Perikatan Nasional sebagai lambang ketika pilihan raya.
Bendera ini mula digunakan pada PRN Melaka pada November tahun lalu dan diteruskan sehingga Pilihan Raya Negeri Johor pada awal Mac lalu.
Menerusi kedua-dua pilihan raya itu, PN gagal menambat hati pengundi.
Untuk rekod, Barisan Nasional antara parti gabungan yang awal menggunakan warna biru dan terkini parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga tampil dengan gabungan warna biru tua dan putih. -MalaysiaGazette