Home Nasional Sarawak mungkin atasi Johor sebagai pengeluar nanas terbesar negara

Sarawak mungkin atasi Johor sebagai pengeluar nanas terbesar negara

Sebahagian proses pembungkusan nanas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ladang Nanas Bersepadu Rompin, Pahang. foto IQBAL BASRI, 19 OKTOBER 2018

SAMARAHAN – Sarawak mungkin dapat mengatasi Johor sebagai negeri pengeluar  nanas terbesar di negara ini pada hujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M Salleh berkata, buat masa ini, Sarawak berada di tempat kedua di belakang Johor selaku pengeluar terbesar, dengan keluasan tanaman nanas mencecah 9,782 hektar dan mampu mengeluarkan 181,000 matrik tan nanas setahun.

Selain itu, katanya, Sarawak juga mempunyai seramai 700 hingga 900 petani yang terlibat dengan penanaman nanas di negeri ini sejak RMK-11, dengan paling ramai mereka di Bahagian Samarahan.

“Saya percaya pada hujung RMK-12, kita dapat menyaksikan Sarawak mungkin boleh potong Johor jadi pengeluar terbesar (nanas) di Malaysia,” katanya selepas merasmikan Ladang Sungai Ulu Moyan, Asajaya, di sini, hari ini.

Khairuzamri berkata, Sarawak memiliki sumber yang sangat besar, bagi meningkatkan lagi penanaman nanas termasuk secara berkelompok seperti di Ladang Sungai Ulu Moyan, Asajaya.

Beliau berkata, lebih kurang 60 hektar ladang tersebut sudah dibangunkan dengan tanaman nanas, dan terdapat lebih 300 hektar lagi ladang itu yang boleh dibangunkan, dengan tanaman terbabit.

“Kelompok ini telah berjaya menguruskan ladang dengan sangat baik, dan menerapkan teknologi yang telah kita sampaikan menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Khairuzamri berkata, pihaknya menyasarkan produk industri nanas di Sarawak dieksport ke luar negara seperti ke Brunei, Jepun, China, kerana Sarawak lebih dekat dengan negara-negara itu berbanding Semenanjung.

“Dalam RMK12 ini, kita menyasarkan supaya semua usahawan nanas ini mencapai pendapatan sehingga RM8,000 sebulan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Sarawak terutama yang berusia 40 tahun ke bawah untuk menceburi penanam nanas, dengan memanfaatkan pelbagai bantuan dan skim ditawarkan pihaknya. – Bernama