SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan memulakan pembinaan projek tebatan banjir di negeri itu dengan peruntukan hampir RM7.7 bilion, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, projek itu dimulakan dengan kerja mendalamkan Sungai Klang, yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
Projek itu, katanya, adalah sebahagian daripada projek pembangunan Sungai Klang yang mana perancangannya telah dibentang pada program pemukiman lepas.
“Sebahagian kos dibiayai Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasar PJKita@Sri Damansara, semalam.
Pada Disember lalu, Amirudin memaklumkan kira-kira RM60 juta diperuntukan tahun ini bagi melaksanakan pembangunan tebatan sebagai langkah jangka panjang mengatasi isu banjir.
Jumlah itu menyamai peruntukan pada 2021, namun perbelanjaan tahun berkenaan hanya membabitkan dana antara RM40 hingga RM45 juta susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan, kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor pada sebelum tahun 2008 pernah memulakan projek tebatan banjir berskala amat besar namun, dibatalkan selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih negeri itu.
Beliau dilaporkan berkata, projek yang dinamakan Canal City itu sudah diberi peruntukan RM3 bilion pada tahun 2007.
Katanya, lokasi projek tersebut adalah ke selatan Majlis Perbandaran Shah Alam iaitu sekitar Taman Seri Muda dan Kota Kemuning. – MalaysiaGazette