SEPANG – Pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 dengan menggunakan kit yang boleh dibeli dari farmasi dengan harga yang murah bertujuan untuk memudahkan rakyat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kemudahan tersebut tidak sepatutnya disalahgunakan oleh pekerja untuk ‘ponteng’ kerja.
“Kalau kita syaratkan contoh, kita hanya iktiraf ujian yang dibuat secara profesional, satu kos dia tinggi sama ada PCR ataupun RTK.
“Kalau kita buat sendiri (beli) di kedai tak sampai RM10. Kalau kita buat RTK di klinik mungkin RM50.
“Jadi, keputusan itu adalah lebih untuk memudahkan rakyat supaya kita boleh pergi ke frasa peralihan. Ini memerlukan kepercayaan. Takkan semua benda kerajaan kena periksa, kena kuatkuasa, kena kompaun, kena denda,” kata Khairy Jamaluddin
Beliau mengulas laporan media bahawa keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen terdedah kepada penipuan susulan membuka ruang kepada pekerja yang mahu mengambil kesempatan mendapatkan ‘cuti percuma’
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Shawaludin Husin dilaporkan berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu didapati berlaku.
Ini kerana prosedur saringan adalah mudah dan longgar, yang mana pekerja hanya perlu melaporkan keputusan RTK antigen dalam aplikasi MySejahtera serta mamaklumkannya kepada majikan.
Sementara itu Khairy Jamaluddin memberi amaran, pekerja yang memalsukan ujian kendiri di MySejahtera bukan sahaja boleh dikenakan tindakan oleh majikan tetapi juga boleh diseret ke mahkamah.
“Kalau pekerja nak tipu, nasib dia tak baik, majikan suruh dia buat ujian RTK yang profesional, dia kantoi dan kita boleh ambil tindakan undang-undang.
“Tapi jangan sampai kita terpaksa ambil tindakan undang-undang kerana salah lapor bawah mySejahtera yang menjadi satu kesalahan,” tegas Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, fasa peralihan yang akan dilalui rakyat bermula 1 April ini memerlukan semua pihak bersikap jujur.
Katanya, kerana sikap tidak jujur sesetengah pihak menyebabkan beberapa cadangan tidak dapat dilaksanakan.
“Ada cadangan katalah dia buat ujian kendiri, negatif pada hari kelima, boleh tak dia keluar rumah?
“Tapi keputusan saya belum dapat dibuat lagi, sebab saya risau dia tipu. Tapi kalau rakyat Malaysia sudah boleh dipercayai kita boleh umumkan syarat tersebut. Ini memudahkan kita.
“Ini lebih kepada kita peralihan daripada penguatkuasaan kerajaan kepada solidariti komuniti dan kejujuran dan kebertangungjawapan kepada individu,” katanya dalam sidang media.
Beliau sebelum itu melancarkan program sukarelawan MyChampion bagi memberi kesedaran orang ramai berkaitan kesihatan.-MalaysiaGazette