Home Seni Hidup Baloy tawar hutang ‘buku 555’ bantu peniaga mulakan bisnes fasa endemik

Baloy tawar hutang ‘buku 555’ bantu peniaga mulakan bisnes fasa endemik

Yen CY

MELAKA – Syarikat peruncitan Baloy. Sdn Bhd. (Baloy) menjadi pasar raya runcit pertama negara memperkenalkan konsep hutang ‘buku 555’ kepada pengguna khususnya peniaga dalam usaha membantu memulihkan perniagaan mereka memasuki fasa endemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yen CY berkata, ia adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang baharu tiga tahun beroperasi sejak 2019 sebelum membuka pasar raya pertamanya pada pada Mac 2020 ketika negara berdepan krisis kesihatan dunia Covid-19.

Menurut beliau, jualan produk berkonsepkan ‘buku 555’ itu sama seperti perkhidmatan kedai kampung pada zaman dahulu yang membenarkan pelanggan berhutang dengan cara mengambil barang dikehendaki dan hanya membayarnya pada setiap hujung bulan.

“Sama juga di Baloy, konsep ‘buku 555’ itu kita modenkan dengan format digital melalui perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (BNPL) menggunakan aplikasi servis tanpa tunai myIOU yang memberikan kredit mudah antara RM1,000 ke RM20,000 kepada pelanggan kami.

“Melalui cara ini, ia pastinya dapat membantu pelanggan terutamanya peniaga yang kekurangan modal untuk menyambung semula perniagaan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 memasuki fasa endemik 1 April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketiga ditemui media selepas perasmian gudang Baloy pertama di Melaka di Bukit Senjuang yang turut dihadiri selebriti tanah air, Wany Hasrita, Ara Johari, Issey Fazlisham dan DJ Sonic.

Mengulas lanjut, Yen berkata konsep ‘buku 555’ disediakan myIOU itu menjadikan Baloy adalah pasar raya runcit pertama negara menawarkan perkhidmatan BNPL yang berbeza daripada dokumen diperlukan untuk permohonan kad kredit di bawah Bank Negara (BNM).

“Menerusia myIOU, pemohon hanya perlu memuat turut aplikasi itu di telefon bimbit mereka sebelum melengkapkan butiran dikehendaki dan jika memenuhi semua syarat, kredit minimum RM1,000 akan dimasukkan dalam masa antara 30 minit ke satu jam.

“Untuk permohonan kredit sehingga maksimum RM20,000, mereka perlu menyediakan beberapa dokumen seperti penyata bank, penyata kad kredit dan Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Selepas itu untuk menggunakan perkhidmatan BNPL, peniaga hanya perlu imbas sahaja QR kod di pasar raya Baloy dan bayaran akan ditolak daripada kredit dalam aplikasi berkenaan tanpa faedah sehingga enam bulan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini seramai kira-kira 100 peniaga di Melaka sudah menggunakan perkhidmatan itu di semua 14 Baloy Mart di negeri ini dan sambutan diterima amat menggalakkan.

“Kita tidak meletakkan sasaran untuk pengguna ‘buku 555’ digital ini, malah juga tidak mengehadkan pemohon seberapa banyak yang boleh diterima selagi mereka memenuhi syarat.

“Namun fokus utama kita adalah kepada peniaga sebagai salah satu CSR syarikat untuk membantu rakyat,” katanya.

Tambahnya, usaha itu sebahagian daripada misi syarikat untuk membangun ekosistem pembelian yang sihat dan memajukan industri barangan pengguna bergerak pantas negara sekaligus meningkatkan ekonomi negara.- MalaysiaGazette