KUALA LUMPUR – Bersandarkan kepada keadaan politik Malaysia yang dilihat tidak stabil ketika ini, ramai menjangka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh berlaku lebih awal daripada waktu sebenarnya iaitu pada 2023.
Namun, Rang Undang Undang Lompat Parti (RUU Lompat Parti) yang sepatutnya dibentang pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini tidak dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sudah membuat kenyataan yang RUU Lompat Parti akan dibentang dalam siding khas pada April depan.
Namun, apakah yang akan berlaku jika ia tidak dilakukan pada waktu ini dan PRU-15 diadakan lebih awal?
Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berpendapat, jika PRU-15 diadakan lebih awal, sudah pasti rakyat akan mendesak agar ia dijadikan sebagai sebahagian manifesto parti pilihan mereka.
“Dengan desakan ini, saya menjangkakan parti politik akan mendapat kelebihan kerana membawa suara rakyat ini.
“Lanjutan daripada itu, akta ini akan dilaksanakan selepas kemenangan parti itu pada PRU-15 nanti,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.
Dengan tajuk Ada Pihak Takut Dengan RUU Anti Lompat Parti?, Muhammad Fathi berkata, peranan rakyat penting sebagai pendesak yang kecewa selepas ia tidak dilaksanakan lebih awal.
“Ia sekali gus memberi dorongan kepada mana-mana parti politik untuk menjadi juara terhadap isu ini. RUU Lompat Parti sangat penting, apatah lagi ia berkait soal integriti dan kepimpinan pemimpin di mana kita faham mengapa sesetengah daripada mereka beralih sokongan,” jelasnya.
Beliau juga berkata, sewajarnya ada tindakan diambil terhadap mereka yang mengkhianati mandat rakyat.
“Menerusi survey yang dilakukan, ramai yang memilih parti berbanding calon, jadi dengan meninggalkan parti yang menolak mereka sebagai calon, dilihat sangat tidak wajar namun perkara ini tiada salahnya daripada sudut Perlembagaan.
“Malaysia sangat istimewa kerana struktur Perlembagaan kita tidak menyatakan kesalahan dengan melompat parti ini.
“Kerana itu saya sebut mengenai integriti dan kepimpinan. Jika tidak dilaksanakan akta ini, keadaan politik kita tidak akan stabil ibarat rojak yang masuk pelbagai buah dalam satu mangkuk,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika diajukan soalan pelayar MalaysiaGazette mengenai apakah boleh pengundi membawa kes pemimpin lompat parti ke mahkamah, Muhammad Fathi berkata, perkara itu tidak boleh dilakukan.
“Kerana itu saya katakan, Malaysia ini sangat istimewa. Tiada tindakan mahkamah boleh diambil kepada pemimpin yang lompat parti kerana pengundi memilih parti bukan calon dan itu adalah kebiasaan dalam setiap pilihan raya.
“Tapi, boleh saja nak cuba, cuma sebagai pakar Perlembangaan dan menerusi kefahaman saya, tiada ruang untuk menang jika dibawa ke di mahkamah,” katanya.
RUU Lompat Parti yang harus dibentangkan pada sidang Parlimen pada sesi kali ini tidak dilakukan sebagaimana dipersetujui bersama sebelum ini.
Perkara ini bertentangan dengan kenyataan Wan Junaidi dan juga semangat perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette