Home Utama Kerajaan tak pernah jual MySejahtera, KKM pemilik utamanya – KJ

Kerajaan tak pernah jual MySejahtera, KKM pemilik utamanya – KJ

Mysejahtera casual contact Covid-19
A customer scanning the MySejahtera QR Code and showing his fully vaccinated status before entering a cyber cafe. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 17 OCTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta seperti yang tular baru-baru ini.

Malah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan pada 26 November lalu memutuskan aplikasi berkenaan adalah hak milik kerajaan.

Dalam masa yang sama Kementerian Kesihatan (KKM) pula merupakan pemilik utama dan penyelia data aplikasi tersebut.

Jelas beliau, kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat yang membangunkan MySejahtera, KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT) sepanjang tempoh penggunaannya dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021 seperti didakwa.

“Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi MySejahtera kepada Kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat,” kata Khairy menerusi kenyataan hari ini.

Isu penjualan aplikasi tersebut timbul selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) yang telah bersidang pada Khamis lalu membangkitkan persoalan tentang penjualan MySejahtera kepada sebuah syarikat swasta.

Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan untuk menjelaskannya dalam satu kenyataan.

Tambah Khairy, sejak dilancarkan aplikasi melalui pendekatan “perisian sebagai platform perkhidmatan” (software as a service – SaaS).

Jelasnya, pendekatan berkenaan membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran (turn around time) yang diperlukan untuk membangunkan satu perisian baharu susulan keperluan satu sistem khusus untuk menguruskan pandemik Covid-19.

Tambahnya, kerajaan kemudian membuat keputusan meneruskkan kerjasama dengan KPISOFT (M) Sdn. Bhd selepas aplikasi berkenaan diyakini mampu digunakan selepas menjalani penambahbaikan.

Menurutnya lagi, MySejahtera kini mempunyai lebih 10 modul serta sebanyak 38 juta pengguna berdaftar terdiri daripada warganegara, bukan warganegara dan juga pengembara.

Di samping itu, kata Khairy, kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan Kerajaan.

Kementerian Kewangan kemudiannya melalui surat bertarikh 28 Februari 2022, bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan.

“Proses rundingan ini telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan Kerajaan,” tambah Menteri Kesihatan berkenaan.

Mengulas lebih lanjut beliau berkata,pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh KKM.

“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

“Sehubungan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahu pun swasta,” kata Khairy.- MalaysiaGazette