Home Nasional Melaka benarkan saf solat rapat ikut sejadah

Melaka benarkan saf solat rapat ikut sejadah

Sulaiman Md Ali

MELAKA – Bermula 1 April ini, solat jemaah di semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan merapatkan saf mengikut saiz sejadah selaras dengan fasa peralihan endemik Covid-19 di seluruh negara.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, keadaan itu masih dilihat mempunyai jarak namun ianya lebih rapat daripada amalan sebelum ini pada kadar satu meter.

“Berkuatkuasa 1 April ini di Melaka kita benarkan solat jemaah jaraknya adalah antara satu sejadah sahaja satu sejadah, masih ada sikit lagi penjarakan.

“Boleh rapat (saf), orang nak sembahyang, takkan nak rapat saf saya kata tak boleh? Orang habis sembahyang, dia baliklah jadi boleh rapat saf dengan ukurannya satu sejadah ke satu sejadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan gudang runcit Baloy yang pertama di Melaka di Bukit Senjuang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Baloy, Yen CY.

Melaka sebelum ini memberi kelonggaran kepada pengurusan masjid menggunakan kebijaksanaan mereka sendiri untuk mengawal penjarakan jemaah.

Ia susulan kerajaan negeri tidak menetapkan secara rasmi kebenaran merapatkan saf seperti dilakukan di Perlis memandangkan Melaka mempunyai lebih 313 masjid dan surau bertaraf masjid yang menyediakan ruang mencukupi meskipun dalam pengamalan penjarakan fizikal.- MalaysiaGazette