Home Utama Penduduk gempar ribuan ikan terdampar pesisir pantai Melaka

Penduduk gempar ribuan ikan terdampar pesisir pantai Melaka

PENGKALAN BALAK – Penduduk dan pengunjung pantai di Pengkalan Balak di sini gempar susulan penemuan ribuan bangkai ikan yang terdampar di sepanjang kira-kira tiga kilometer pantai peranginan tumpuan pelancong sejak petang tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar pukul 6 petang tadi mendapati ribuan ikan jenis tamban dan selangat memenuhi pesisiran pantai bermula di Telok Gong dan Sungai Tuang sekaligus menyebabkan bau busuk di kawasan berkenaan.

Nelayan Pantai Telok Gong, Mohamad Arshad, 76, menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 5 petang tadi daripada pegawai Jabatan Perikanan negeri untuk mendapatkan maklumat kejadian.

“Saya terkejut juga kerana kejadian sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini sepanjang 20 tahun saya menjadi nelayan termasuk 10 tahun sebagai ketua nelayan di sini.

“Ada yang mendakwa, kejadian pelik kematian ikan jenis tamban dan selangat di pantai ini berpunca daripada pencemaran tapi agak pelik kerana ia hanya melibatkan dua jenis ikan sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, pengunjung, Rahimin Alimad, 47,  terpaksa membatalkan hasrat untuk berkelah bersama isteri dan tiga anaknya di pantai itu selepas tidak tahan bau busuk bangkai ikan terbabit.

“Pelik juga bila melihat banyak bangkai ikan memenuhi pesisiran pantai membuatkan anak-anak tidak selesa untuk mandi dan bermain pasir,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, Rosli Abdullah yang turun padang meninjau keadaan itu berkata, beliau akan mendapatkan laporan penuh daripada agensi berkaitan mengenai punca kejadian.

“Memang ada dakwaan daripada penduduk yang mengaitkan kematian hanya satu atau dua jenis ikan ini akibat daripada pencemaran belerang di laut namun ianya masih belum ada bukti.

“Saya akan minta Jabatan Perikanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar menyiasat perkara ini dan mengemukakan laporan penuh dalam masa terdekat,” katanya.- MalaysiaGazette