Home Seni Hidup Program Team bantu belia harungi cabaran – Tengku Amir Shah

Program Team bantu belia harungi cabaran – Tengku Amir Shah

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris (tengah) hadir pada majlis resepsi Program Team di sebuah hotel baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris berbangga dengan kejayaan semua anak muda menyertai Program Team yang merupakan sebuah program pembangunan belia.

Baginda berharap program kendalian Selangor Youth Community (SYC) di bawah naungannya itu dapat membantu ramai lagi anak muda.

Tengku Amir Shah dapat melihat bagaimana anak muda hari ini mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat mereka dan menjadi lebih baik dalam kehidupan mereka.

“Bagaimanapun, kita harus akui bahawa sesetengah golongan berdepan dengan pelbagai cabaran (bangsa, jantina, agama, keluarga, dan latar belakang sosio ekonomi) yang menghalang mereka mencapai potensi mereka sepenuhnya.

“Dalam Program Team, kami ingin membantu belia mengharungi cabaran yang mereka hadapi. Kami telah merangka modul yang dinamik serta bekerjasama dengan pelbagai organisasi yang sedia memberi pendedahan dan peluang kepada golongan belia.

“Kami sentiasa percaya pada keberkesanan dan kesan positif daripada tindakan kolektif orang ramai. Kami juga mengalu-alukan mereka yang turut berkongsi nilai dan objektif yang sama dengan kami di Program Team dalam memacu perubahan kehidupan golongan belia bersasar di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Team yang merupakan sebuah program pembangunan belia selama sembilan minggu bagi membantu golongan belia bersasar untuk pembangunan diri menerusi tiga peluang utama iaitu pendidikan, latihan dan pekerjaan.

Ia anjuran SYC dengan kerjasama Prince’s Trust International iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa diiktiraf yang diasaskan oleh HRH The Prince of Wales.

Pada tahun ini, menyedari golongan muda semakin memerlukan peluang ini berikutan penularan wabak Covid-19, Program Team bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)dengan penglibatan mereka daripada kategori berkeperluan tinggi dan berisiko di bawah 18 tahun daripada institusi di bawah jabatan itu.

Bagi meraikan pencapaian para peserta program, SAY telah menganjurkan satu majlis resepsi yang telah diadakan di Sunway Hotels & Resorts di Petaling Jaya baru-baru.

Dalam kenyataan sama, SYC memberitahu, di samping sambutan majlis itu, satu Memorandum Persefahaman (MOU) turut dimeterai antara SYC dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

MOU itu telah ditandatangani untuk memupuk semangat kolaborasi jangka panjang antara SAY dan JKM yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat luas melalui program-program yang dijalankan.

“Selain itu, selaras dengan pelan perkembangan tamat program yang turut disertakan sebagai sebahagian daripada rangka kerja program, satu Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani bersama Manforce Group Berhad, sebuah badan swasta yang bertindak sebagai agensi pekerjaan yang diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Kerjasama ini bertujuan menghubungkan golongan muda dalam Program Team dengan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri selepas tamat sesi latihan menerusi jaminan peluang pekerjaan,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette