Home Politik Ramlee dilantik Setiausaha Politik kepada MB Johor

Ramlee dilantik Setiausaha Politik kepada MB Johor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kempas, Datuk Ramlee Bohanee dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kempas, Datuk Ramlee Bohanee dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor di sini hari ini.

Ramlee yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai telah mengangkat sumpah jawatan berkenaan di hadapan Menteri Besar,  Datuk Onn Hafiz Ghazi di pejabat Menteri Besar pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini,  Ramlee yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas telah memenangi kerusi itu dalam persaingan empat penjuru.

Datuk Onn Hafiz yang juga cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 pada 18 Mac lalu.

Beliau yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira jam 3 petang hari berkenaan.

Onn Hafiz merupakan Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.-MalaysiaGazette