PETALING JAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan dirinya masih ada masa untuk membuat keputusan untuk bertanding di mana-mana jawatan dalam Pemilihan PKR tahun ini.
Beliau akan bertemu dengan setiap lapisan kepimpinan bagi mendapatkan pandangan mengenai jawatan mana yang sesuai untuk beliau tandingi.
“Bila sampai masa sesuai saya akan buat keputusan.
“Waktu itu saya terima hakikat perlembagaan parti hormati proses demokrasi memilih dan apabila kalau akhirnya buat keputusan begitu saya ingin meraikan demokrasi dalam parti, kebebasan memilih anggota, tekad saya saksikan proses pemilihan dan tak carikkan persahabatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan PKR Cabang Lembah Pantai hari ini.
Ditanya jawatan mana yang ingin ditandingi, Saifuddin berkata, jawatan yang akan ditandinginya dilihat boleh memberikan impak besar kepada parti.
“Keputusan itu kalau saya terpilih tapi tidak itu boleh menyumbang kepada parti. Saya masih dalam proses dapatkan pandangan rakan. Jawatan mana yang penting ia beri impak besar sumbangan saya kepada parti,” jelasnya.
Pemilihan PKR itu bagi sesi 2022 hingga 2025 ditangguhkan ke tarikh baharu bermula 13 hingga 18 Mei ini.
Saifuddin sebelum ini berkata, penangguhan selaras dengan peruntukan Fasal 47.3 Perlembagaan PKR itu dimaklumkan beliau menerusi notis pekeliling pada Selasa.
Paling hangat diperkatakan adalah jawatan Timbalan Presiden PKR apabila ia kosong selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu pada tahun lepas manakala Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR pada 2020.
Naib Presiden PKR, Rafizi pada minggu lalu mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti kali ini.
Rafizi tidak aktif dalam politik selepas pemilihan kepimpinan PKR pada akhir 2018 yang menyaksikan dia tewas tipis kepada Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. – MalaysiaGazette
Kalau susah2 sangat nak pilih jawatan apa pilih saja jawatan presiden . Sebab orang lain tak minat jawatan itu . Syaipuddin boleh cuba nasib