KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Switzerland malam tadi.
Gandingan ke-13 dunia itu mengejutkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berada di ranking ke-10, dalam pertembungan dua wakil Malaysia, dengan kemenangan 21-17, 24-22 selepas 53 minit aksi separuh akhir di St Jakobshalle Basel.
Soon Huat-Shevon bakal berdepan pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Mark Lamsfuss-Isabel Lohau dari Jerman menentang wakil Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati.
Final Terbuka Switzerland berlangsung pada Ahad.
Sementara itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi terkandas di separuh akhir, tewas kepada pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 22-20, 13-21, 21-8.
Turut terkandas beregu wanita profesional negara Lim Chiew Sien-Vivian Hoo yang tewas kepada Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-10, 21-16 dalam tempoh 39 minit perlawanan. – MalaysiaGazette