KUALA LUMPUR – Pasti ramai yang tidak pernah dengar mengenai fenomena ‘Tengah Hari Tanpa Bayang’ namun itulah yang berlaku siang tadi tepat jam 1.19 petang.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, fenomena itu merupakan susulan daripada Peristiwa Ekuinoks yang berlaku pada Isnin lepas, iaitu pada 21 Mac 2022, apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.
Bagaimanapun Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam serta beberapa bandar lain akan mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang pada hari ini.
Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami fenomena tersebut pada jam 1.19 tengahari petang manakala Shah Alam pula pada jam 1.20 tengahari.
Semasa Peristiwa Ekuinoks, seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam yang menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan bumi pula akan mula mengalami musim luruh.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu negara, rata-rata mendapati masyarakat yang ditemui teruja dengan fenomena itu.
Bagi Halimah Mohamad, 58, beliau tidak pernah mengetahui ada fenomena tersebut wujud di Malaysia.
Malah katanya, beliau sangat teruja mengetahui perkara yang jarang-jarang berlaku ini.
“Tak pernah dengar fenomena tengahari tanpa bayang.
“Saya teruja nak tahu sebab selama ini tidak ada orang beritahu saya tentang fenomena ini. Fenomena ini macam cakap tadi, tidak ada bayang di kiri kanan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beberapa pengunjung sebuah pusat membeli belah turut melahirkan rasa teruja mereka.
Zila Yaakob berkata, kebiasaannya bayang-bayang akan berada di kiri atau kanan ketika seseorang itu berjalan.
Namun bila mengetahui wujudnya fenomena terbabit, beliau tidak sabar untuk mencubanya.
“Saya sangat teruja dan nak tahu lebih lanjut mengenai fenomena ini.
“Biasanya kita tengok bayang kita di kiri atau kanan, kalau betul di bawah kaki kita saya sangat teruja. Ini kali pertama dan jarang berlaku.
“Saya akan cuba nanti nak lihat fenomena tengahari tanpa bayang yang dikatakan itu,” katanya.
Bagi Lee Hiuk Hui, 64, sepanjang hidupnya ini kali pertama beliau mendengar mengenai fenomena ‘Tengah Hari Tanpa Bayang’.
“Saya tidak pernah dengar mengenai fenomena tengahari tanpa bayang ini tapi ini jam 1.20 petang tidak ada bayang.
“Memang teruja sebab ini satu fakta baru yang saya tidak pernah tahu.
“Boleh juga saya akan cuba nanti,” katanya lagi.
Fenomena ini berlaku tatkala pada waktu tengah hari dimana matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di atas sepanjang garisan khatulistiwa.
Bayang kepala dan badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi. – MalaysiaGazette