KUALA LUMPUR – Jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Jurulatih berusia 48 tahun itu dijadual meninggalkan BAM berkuat kuasa 1 April ini walaupun badan induk berkenaan sudah menawarkan lanjutan kontrak baharu.
Keputusan muktamad itu dibuat Flandy yang kelahiran Indonesia selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.
“Selepas perbincangan dan pertimbangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy, saya berasa ini adalah waktu sesuai untuk saya mengundur diri.
“Saya bersyukur kerana berpeluang berkhidmat bersama BAM dalam dua tahun yang penuh istimewa ini,” kata Flandy dalam satu kenyataan dikeluarkan BAM hari ini.
Sementara itu, Rexy berterima kasih atas usaha gigih dilakukan Flandy sepanjang berkhidmat di BAM.
“Pertamanya, saya ingin berterima kasih kepada Flandy atas usaha gigih dan tahap profesionalisme di sepanjang dua tahun bersama BAM. Dia sudah meletakkan tanda aras di bahagian beregu lelaki untuk kami bina dan dia juga sudah mencipta detik yang menakjubkan.
“Saya berbangga dengan usaha kerjanya yang sudah kami lakukan bersama. Saya berharap yang terbaik untuknya di peringkat seterusnya. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk meneruskan usaha ke atas skuad beregu lelaki muda dan saya akan terus bekerja keras untuk memimpin jabatan ini ke tahap yang lebih tinggi,” kata Rexy.
Dalam pada itu, BAM turut menzahirkan penghargaan ke atas Flandy dengan berkata, pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada Flandy atas dedikasi dan komitmen diberikannya.
“Kami mengharapkan kejayaan dalam setiap usahanya selepas ini,” kata BAM. – MalaysiaGazette