Home Utama Indonesia, Filipina akui TCA berjaya tangani ancaman di Asia Tenggara

Indonesia, Filipina akui TCA berjaya tangani ancaman di Asia Tenggara

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto (kiri) dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N. Lorenzana (kanan) pada sidang media selepas selesai mesyuarat tiga penjuru sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Indonesia dan Filipina masing-masing mengakui Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) dengan Malaysia berjaya melindungi kepentingan dan ancaman dihadapi ketiga-tiga negara di Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto berkata, ia kerana hubungan rapat antara ketiga-tiga negara menerusi kerjasama erat dalam operasi ketenteraan rentas sempadan maritim yang mempunyai persamaan sejarah budaya dan berkongsi kawasan serantau.

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

Katanya, kerjasama rentas negara ini mustahak untuk diteruskan demi melindungi kepentingan masing-masing.

“Kita ada kepentingan dan menghadapi ancaman yang sama manakala kerjasama trilateral antara kita sangat penting dan strategik.

“Kita mahu melihat ia (kerjasama TCA) ditingkatkan lagi dan mengalu-alukan keputusan yang dicapai kami bertiga pada hari ini dan kini kita melihat ke hadapan dari segi pelaksanaannya demi manfaat serantau.

“Saya nak kongsikan kepada semua mengenai pencapaian kerjasama ini contohnya, Indonesia sudah banyak kali berdepan dengan rakyatnya diculik dan dilarikan ke Filipina namun ia berjaya dikekang dan tahun lalu tiada kes penculikan tuntut wang tebusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat TCA dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana sempena penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Nasional (NATSEC) Asia di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Prabowo dalam perkembangan sama mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada kerajaan, rakyat dan tentera Filipina kerana membantu kami menyelamatkan penduduk negaranya yang menjadi tebusan.

“Ini menunjukkan pelaksanaan sebenar sebagai bukti usaha menerusi kerjasama trilateral ini. Ia amat penting dan saya fikir ia akan meningkatkan kestabilan keamanan di rantau kita.

“Justeru, kami komited melindungi ruang dan kestabilan rantau ini berdasarkan jalinan persahabatan rapat antara negara jiran,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Pertahanan Filipina, Lorenzana pula menjelaskan negaranya komited untuk mengeratkan lagi hubungan antara ketiga-tiga negara berkenaan dengan langkah menghidupkan kembali TCA.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N. Lorenzana Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

“Banyak kejayaan telah dicapai setakat ini dan kini tiba masanya untuk kita meningkatkan lagi tahap kerjasama dengan pembabitan agensi lain dalam aspek rentas sempadan dan sempadan maritim.

“Kali terakhir kita bermesyuarat pada 2018. Sekarang kita hidupkan kembali TCA. Kerjasama antara kita diyakini akan menjadi lebih kuat selepas ini.

“Faktanya, kita semua datang dari bangsa Melayu. Itu sebabnya amat sesuailah untuk kita menjalin hubung supaya kita bersatu,” katanya.- MalaysiaGazette