Home Nasional MHO cadang pesalah imigresen ‘stateless’ dibenar sertai program sistem parol – Musa...

MHO cadang pesalah imigresen ‘stateless’ dibenar sertai program sistem parol – Musa Hassan

Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa dicadangkan supaya menyerapkan pesalah imigresen yang dikategorikan sebagai golongan ‘stateless’ (tanpa kerakyatan) ke dalam program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni.

Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan berkata,  ketika ini kerajaan sedang memberi perhatian kepada golongan banduan yang sedang menjalani program Pemulihan Dalam Komuniti pada 2021, melebih 7,000 orang.

“Kami berpendapat hukuman alternatif tersebut juga boleh dikenakan kepada pesalah bagi golongan stateless yang ditahan di kem-kem tahanan Imigresen yang mana kita beri juga peluang mereka sertai program seumpama ini,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, seandainya sebilangan kecil, kira-kira 20 peratus mengisi kekosongan tenaga kerja dengan menggunakan warga asing, ia dapat mengurangkan kepadatan jumlah tahanan di kem-kem imigresen.

Pada Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan seramai 10,000 banduan dijangka menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni, dengan 80 peratus dianggar ditempatkan dalam industri, seterusnya mampu mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

Dalam pada itu, kata Musa, pihaknya akan terus berjuang dalam memastikan golongan ‘stateless’ ini mendapat perhatian sewajarnya dan bukan dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin (PATI).

“Sebenarnya banyak faktor menyebabkan golongan ini menjadi ‘stateless’ termasuk kehidupan jauh di pedalaman atau hilang dokumen penting seperti pengenalan diri. Ramai juga yang ditahan dan tidak dapat di usir kerana mereka ini tiada negara.

“Akhirnya kita tempatkan mereka di kem sana dan sini, lebih menyedihkan majoritinya adalah Islam. Kita sangat harap kerajaan akan lihat cadangan-cadangan oleh MHO ini demi kebaikan dan kesejahteraan kita semua kelak,” ujarnya. -MalaysiaGazette