KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan negeri memartabatkan bahawa sektor pendidikan yang mana ia merupakan elemen signifikan dalam pembangunan modal insan sesebuah negeri.
Baginda menzahirkan hasrat agar dapat melihat institusi pendidikan pahang menjadi antara yang terbaik di negara ini.
“Penaiktarafan KUIPSAS (Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah) kepada UNIPSAS (Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah) melakar sejarah tersendiri sebagai universiti Islam pertama di Pahang dan Pantai Timur Semenanjung.
“Saya turut dimaklumkan mengenai komitmen kerajaan saya menerusi Yayasan Pahang yang telah banyak membantu anak-anak Pahang di sekolah rendah dan sekolah menengah serta mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” titahnya pada majlis pembukaan persidangan mesyuarat pertama penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.
Justeru baginda berharap agar inisiatif itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mempertingkatkan tahap pendidikan anak Pahang selain mengelakkan mereka tercicir daripada pendidikan yang sewajarnya.
Titah baginda, kerajaan negeri perlu menetapkan misi dan visi untuk menjadikan Pahang mempunyai, sekolah, pusat tahfiz, kolej dan universiti terbaik dan ia boleh dicapai menerusi strategi pelaksanaan yang betul dan komitmen tinggi daripada semua pihak.
Dalam pada itu, baginda berbangga dengan usaha dan tindakan proaktif kerajaan negeri Pahang yang dipimpin, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana berjaya membawa pelaburan baharu berjumlah RM5.5 bilion pada tahun ini.
Pelaburan tersebut melibatkan pelabur dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan. – MalaysiaGazette