KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 aduan diterima polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ke atas seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Kaklong Dungun).
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan MultiMedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, aduan itu dibuat berdasarkan penghinaan terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) yang diviral menerusi akaun Facebook ‘Wan Noor Baizura’.
Katanya, berdasarkan aduan itu, kedua pihak iaitu polis dan SKMM sedang menjalankan siasatan.
Beliau mengingatkan tindakan mengaibkan kehormatan termasuk mempersendakan fizikal seseorang boleh didakwa bawah Seksyen 509 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kaklong Dungun ni bukan kak long kawasan ya. Dia hanya Kaklong Dungun sahaja,” katanya dalam ucapan penggulungan Titah Diraja bagi persidangan Dewan Negara di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan perbahasan Senator Datuk Ras Adina Mohd Radzi dan Senator Datuk Seri S. Vell Paari yang membangkitkan isu mengenai tindakan diambil bagi memastikan perbuatan mempersenda golongan OKU tidak berleluasa di media sosial.
Menurut Zahidi, kandungan berunsur kebencian terhadap OKU juga menjadi kesalahan mengikut terma perkhidmatan penyedia platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook dan Instagram.
“Atas dasar kawal selia bersama, tindakan lain yang diambil termasuk memberi nasihat kepada pihak yang terkesan serta mengangkat kandungan diadukan kepada penyedia platform media sosial untuk penelitian lanjut.
“Selain itu, kerajaan turut menggerakkan program kesedaran dan pendidikan bagi memupuk budaya penggunaan secara bijaksana dan berhemah dalam kalangan pengguna media sosial,” katanya.
Menurut Zahidi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) turut menganjurkan program advokasi seperti Klik Dengan Bijak (KDB), Hentikan Buli Siber dan Berita Palsu bagi mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab.
Beliau turut menasihatkan pengguna internet agar mempunyai kesedaran dalam menggunakan media sosial supaya tidak menjadi mangsa atau pembuli siber.
Berhubung cadangan supaya Seksyen 233(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dipinda, K-KOMM telah memuktamadkan cadangan pindaan ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Katanya, terdapat juga cadangan pindaan hukuman yang dikenakan ke atas kesalahan di bawah akta itu, termasuk penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Cadangan pindaan ke atas hukuman tersebut dapat memberikan pengajaran kepada pesalah laku agar tidak mengulangi perbuatan tersebut dan juga mencegah masyarakat daripada melakukan kesalahan yang sama pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette