KUALA LUMPUR – Malaysia, Indonesia dan Filipina hari ini mencapai persetujuan untuk mengembangkan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) melangkaui bidang pertahanan.
Menteri pertahanan ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu membuat ketetapan untuk menggabungkan pelbagai pendekatan membabitkan kementerian serta agensi berkaitan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ketiga-tiga negara turut bersetuju menyegerakan penempatan Pegawai Perhubungan Peronda Trilateral (TMP LO) berstatus tetap di setiap negara.
“Langkah menempatkan TMP LO adalah bertujuan bagi membolehkan pertukaran maklumat, pemantauan dan pelaksanaan aktiviti pengawasan maritim serta udara yang lebih berkesan.
“Kami turut mencapai persetujuan untuk tiga negara berkenaan memberi penekanan terhadap dalam operasi pengawasan bagi meningkatkan produktiviti serta ketepatan dalam mengekang aktiviti jenayah dan keganasan serantau.
“TCA berjaya mengekang ancaman keselamatan keganasan di Perairan Sulu dan Sulawesi contohnya pada tahun 2021 kita merekodkan sifar kes penculikan membabitkan wang tebusan dan ini satu bukti keberkesanan kerjasama ini.
“Kali terakhir perbincangan TCA peringkat menteri diadakan adalah pada tahun 2018 iaitu empat tahun lepas dan penganjuran kali ini amat penting untuk menjadi bukti serta komitmen tiga negara ini bahawa kami serius dalam menjamin keselamatan perairan terutama di Laut Sulu dan Sulawesi,” katanya dalam sidang media di Pusat Perdagangan Antarabangsa dan Pameran Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat TCA bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N Lorenzana.
Menurut Hishammuddin, mesyuarat TCA menjadi platform kepada ketiga-tiga negara bagi melihat perkembangan semasa kerjasama trilateral khususnya dalam memperkasakan kerjasama pertahanan selain bertukar pandangan berhubung situasi keselamatan serantau.
Malah katanya, menerusi mesyuarat ini, ketiga-tiga negara berjaya mencapai tiga persetujuan untuk menjamin keamanan dan keharmonian serantau.
“Kita juga bersetuju meneruskan mesyuarat TCA ini sekurang-kurangnya setahun sekali untuk memperkukuhkan komitmen antara tiga negara dalam menangani ancaman keselamatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette