KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) mampu memenuhi piawaian penyelenggaraan aset dan komponen ketenteraan yang dibekalkan syarikat itu sehingga 15 tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pengeluar aset berkenaan menerusi perjanjian persefahaman dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Katanya, ia secara tidak langsung meningkatkan potensi syarikat tempatan membangunkan komponen ketenteraan buatan Malaysia yang bertaraf antarabangsa.
“Persoalan yang sering timbul adalah bagaimana kita mahu memastikan setiap alatan atau kenderaan mampu bertahan untuk tempoh 15 tahun akan datang dan itulah yang penting untuk kita.
“Kita bersama-sama rakan strategik memastikan setiap pembekalan alat ganti dan komponen memenuhi bekalan dan piawaian mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022, di sini, hari ini.
Fazley berkata, menerusi kerjasama dengan SIRIM pihaknya melihat potensi untuk membangunkan sendiri komponen dan menaik taraf produk sedia ada secara dalaman agar lebih bersesuaian dengan keperluan operator tempatan.
“Untuk jangka masa panjang, kami berharap dapat merangsang pengetahuan teknologi dan membina komponen kritikal secara tempatan sepenuhnya yang akan membawa kepada perbelanjaan pertahanan yang lebih rendah dan memupuk industri pertahanan yang lebih berdikari.
“Jika ia mampu tercapai, maka sudah pasti kami mampu meletakkan industri pertahanan negara di hadapan dari segi kemajuan teknologi pertahanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette