Home Nasional Entiti persendirian uruskan aplikasi MySejahtera sesuatu yang membimbangkan – Mohamad Hasan

Entiti persendirian uruskan aplikasi MySejahtera sesuatu yang membimbangkan – Mohamad Hasan

MySejahtera check-in check in
Pelanggan kafe siber mengimbas kod MySejahtera dan menunjukkan sijil lengkap vaksin bagi mematuhi SOP ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette selepas Perdana Menteri mengumumkan pembukaan semula perkhidmatan pusat siber dalam kapasiti fasa 3 di Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu aplikasi MySejahtera.

Menurut beliau, ada beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai laporan pelantikan entiti persendirian MySJ Sdn Bhd yang akan menguruskan aplikasi itu selepas ini.

“Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia telahpun memberikan penjelasan, ada beberapa kekeliruan yang wajar dijelaskan. Terutamanya tentang perlantikan MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme rundingan terus, dan bukannya melalui tender terbuka. Rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat.

“Apa lagi kerana keputusan sebegini melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan trend kehidupan puluhan juta rakyat Malaysia.

“Janganlah kita lupa bahawa aplikasi ini dibangunkan pada awalnya sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat untuk mendepani pandemik yang menular.

“Apa-apa tujuan lain selain pengawalan pandemik memerlukan kerajaan melakukan libat urus yang komprehensif dengan semua pemegang taruh, terutamanya rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 26 November 2021, Khairy berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi ini untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Pada Ahad lalu, Menteri Kesihatan itu menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk melantik sebuah syarikat untuk menguruskan aplikasi MySejahtera tidak bermaksud aplikasi itu dijual.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 16 MAC 2022.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, segala rencana untuk menaiktaraf aplikasi tersebut harus tidak lari dengan tujuan asal pembangunannya.

Malah kata beliau, sekiranya cadangan menaik taraf dan mempelbagaikan fungsi MySejahtera ingin dilakukan, mekanisme semak dan imbang sangat diperlukan bagi memastikan keutuhan maklumat peribadi rakyat Malaysia tidak dikompromi.

“Malaysia akan memasuki fasa endemic mulai 1 April 2021. Kerajaan juga wajar memutuskan rasional penerusan pendaftaran melalui MySejahtera dan kewajipan pengaktifan MySJTrace.

“Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme ‘surveillance’ yang secara langsung, mencerobohi privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka. Tentukan lah tempoh masa, sebelum semua ini boleh kita hentikan, demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia sama seperti sebelum pandemik.

“Ketelusan dalam semua perkara ini adalah sangat penting, dalam mengukuhkan keyakinan rakyat tentang plan Kerajaan dalam melebarkan aplikasi MySejahtera dari fungsi asalnya,” katanya. – MalaysiaGazette