Home Nasional Kenakan tindakan terhadap pemilik hotel, isi rumah buang makanan – CAP

Kenakan tindakan terhadap pemilik hotel, isi rumah buang makanan – CAP

Wan Salim (tengah) merasmikan Pelancaran Kempen Elak Pembaziran Makanan Pada Bulan Ramadan di Pejabat CAP di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengenakan tindakan terhadap pemilik hotel serta isi rumah yang membuang makanan berlebihan khususnya pada bulan Ramadan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, cadangan itu antara yang dikemukan pihaknya kepada kerajaan serta agensi berkaitan dalam usaha menangani pembaziran makanan yang menunjukkan peningkatan setiap kali menjelang Ramadan.

Mohideen.

Jelas beliau, berdasarkan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2016, bahawa setiap kali Ramadan 200,000 tan makanan dibuang terus ke dalam tong sampah ini menunjukkan isu pembaziran yang diutarakan CAP sejak 10 tahun lalu masih tidak dipedulikan.

“Bagaimanpun, jumlah pembaziran itu kurang dalam tempoh pandemik Covid-19 apabila tiada bufet Ramadan dilaksanakan.

“Kita risau kadar pembaziran makanan tahun ini meningkat berbanding tahun sebelum Covid-19.

“Sehubungan itu, kita cadangkan pada kerajaan untuk kawal cara berbuka puasa secara berlebihan kerajaan mempunyai kuasa untuk berbuat sedemikian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Elak Pembaziran Makanan Pada Bulan Ramadan di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri di sini hari ini.

Pelancaran kempen tersebut dirasmikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurut Wan Salim, umat Islam digalakkan berinfaq berbanding daripada berbuka puasa secara berlebih-lebihan.

Wan Salim.

“Umat Islam memang pemurah tambahan pula pada bulan puasa namun lebih elok sekiranya keutamaan itu diberikan untuk membantu golongan memerlukan daripada makan secara berlebihan yang menjadi punca pembaziran,” katanya. – MalaysiaGazette