KUALA LUMPUR – SME Corp. Malaysia menerusi Tri – D Event and Management Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai Rakan Perkhidmatan (Delivery Partner) di bawah Program Rangkaian Micro Connector telah menganjurkan kursus “Pencinta Kecantikan Menjana Pendapatan” yang berlangsung selama dua hari.
Bengkel kursus tersebut menyasarkan penyertaan perusahaan mikro dan usahawan kecil dari kalangan berpendapatan rendah B40 bermula sejak semalam dan berakhir hari ini di Dewan Prima, Wisma LJT, Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MEe Corp. Malaysia, Rizal Nainy, objektif program kursus itu adalah bagi membantu peserta menimba ilmu tambahan dan kemahiran terkini dalam bidang persolekan serta kecantikan.
Kini, katanya, peluang itu terbuka luas apabila kursus ini memberi peluang kepada peserta menceburi perniagaan dalam bidang kecantikan dan persolekan menggunakan kelebihan skil bersolek untuk menjana pendapatan lebih lumayan.
“Menerusi kursus ini, peserta dapat mempelajari dan diberikan pendedahan teknik Mekap Solekan Terkini (Advance Makeup), Mekap Solekan Pentas (Stage Makeup), Mekap Kesan Khas (Special Effect Makeup) dan Mekap Hijab serta Tutorial Turban oleh beberapa jurusolek profesional Sheila Muhamad, TYM Fatimah dan El Manda Zuhairy.
“Peserta kursus juga dibekalkan senaskah buku “START ME UP – Kit Panduan Bagi Perniagaan Permulaan” yang diterbitkan SME Corp. Malaysia dalam usaha membantu peserta menjadi usahawan berjaya dalam menjana pendapatan lumayan.
“Peserta juga akan menerima sijil penyertaan dan berpeluang mendaftar syarikat di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang disediakan sepanjang kursus ini berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette